Subsidi ayam, telur diteruskan - Utusan Malaysia

Subsidi ayam, telur diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemberian subsidi dan kawalan harga ayam serta te­lur akan diteruskan selepas me­ngambil kira kos sara hidup semasa dan mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Se­ri Anwar Ibrahim.

Perkara itu diumumkan da­lam kenyataan bersama Kemen­terian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Ke­menterian Perdagangan Da­lam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam.

Mengikut kenyataan tersebut, Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan KPKM dan KPDN supaya pemberian subsidi dan kawalan harga ayam serta telur diteruskan selepas Jun ini.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak memberi tempoh sehingga bila subsidi kedua-dua barang asas itu akan diteruskan. Namun mengikut sumber, kerajaan setakat ini bersetuju meneruskan subsidi ayam dan telur sehingga hujung tahun ini.

“Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira semua aspek termasuk memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dan kebajikan rakyat terus terbela.

“Pemberian subsidi dan kawalan harga ini dibuat demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia Madani,” kata kenyataan tersebut.

Pada 17 Februari lalu, Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan tiada lagi subsidi ayam dan telur oleh kerajaan bermula 1 Julai ini.
Beliau dilaporkan berkata, penamatan tersebut membolehkan KPDN menilai serta mengawal harga barangan sama ada naik atau turun berbanding harga siling runcit bagi ayam dan telur.

Pada masa ini, harga siling runcit bagi ayam standard di Semenanjung adalah RM9.40 sekilogram, manakala harga siling bagi telur adalah 45 sen bagi gred A, 43 sen bagi gred B dan 41 sen bagi gred C. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×