Sikap peramah petanda Mahadevi pergi selama-lamanya - Utusan Malaysia

Sikap peramah petanda Mahadevi pergi selama-lamanya

MANGSA ribut yang maut, P. Mahadevi yang dihempap bumbung sekolah dalam kejadian ribut di Kampung Tahang Rimau, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Sikap mangsa maut dihempap bumbung sekolah akibat ribut malam tadi semakin peramah sejak kebelakangan ini menjadi petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.

Menurut abang ipar mangsa, P. Tamil Selvam, 55, adik iparnya, P. Mahadevi, 55, itu tinggal di Kampung Tahang Rimau, dekat sini bersama suaminya, P. Saravanan, 57, dan seorang adiknya, V. Bala, 51, ketika kejadian.

“Saya dimaklumkan menerusi telefon dan bergegas ke rumah mereka. Saya dimaklumkan mendiang menjerit meminta tolong sebanyak tiga kali selepas dihempap bumbung sekolah di bahagian dapur rumah tersebut.

“Kami sekeluarga masih lagi terkejut dengan kejadian yang menimpa adik ipar dan masih trauma. Mereka sekeluarga kini tinggal di rumah saudara berdekatan,” katanya ketika ditemui di Kampung Tahang Rimau, di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum kejadian, tetapi agak banyak bercakap dan peramah menjadi petanda pemergiannya.

Sementara itu, jiran mangsa, Arif Budiman, 37, berkata, dia berlari ke rumah mangsa selepas mendapatinya dihempap bumbung sekolah.

“Sebelum kejadian kira-kira pukul 7 petang, keadaan hujan lebat disertai petir. Sebaik mendengar jeritan jiran meminta pertolongan, saya bergegas berlari dan mendapati bahagian dapur rumah jiran saya dihempap bumbung sekolah.

“Saya terus bantu tarik mangsa dari bawah bumbung. Ketika itu, mangsa dalam keadaan tertiarap dan tersepit di bahagian pinggang. Keadaan hujan lebat membuatkan keadaan sangat mencabar. Jiran-jiran lain turut datang membantu dan kami berjaya menarik keluar mangsa,” kongsinya yang bekerja sebagai buruh binaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 8.20 malam. Mangsa yang juga pekerja kantin Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Seg Hwa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Segamat untuk dibedah siasat dan tiada unsur jenayah ditemui dalam insiden ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN