PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta semua ahli Parlimen menyokong Kertas Putih Kesihatan (HWP) yang dijangka dibentangkan dalam persidangan sidang Dewan Rakyat pada bulan ini.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presidennya, Dr. Muruga Raj Rajathurai berkata, HWP penting kerana ia akan menetapkan hala tuju dan menyediakan panduan yang jelas ke arah pembaharuan perkhidmatan kesihatan di negara ini.
Justeru, katanya, sokongan semua ahli Parlimen itu tanpa mempolitikkan Kertas Putih berkenaan penting untuk memastikan proses pembaharuan penjagaan kesihatan di negara ini dapat bermula.
“Terdapat banyak cubaan memperbaharui penjagaan kesihatan sebelum ini, namun kali ini kami percaya HWP akan menjadi usaha yang sebenar untuk tempoh jangka masa panjang dan refomasi bermakna.
“Selepas penglibatan pihak-pihak berkepentingan di pelbagai peringkat diadakan sepanjang penyediaan HWP dan melihat kepada kepakaran 13 ahli Majlis Penasihatnya, MMA yakin Kertas Putih Kesihatan dapat menangani banyak kebimbangan mengenai hala tuju dan masa depan sistem penjagaan kesihatan negara kita dengan penyelesaian praktikal dan hasil yang boleh dicapai.
“Namun pertama sekali, kita mesti memastikan semua ahli Parlimen menyatakan sokongan mereka dan tidak mempolitikkan perkara ini,” katanya, semalam.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa memberitahu, Kertas Putih Kesihatan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan yang dijadual bersambung minggu depan hingga 15 Jun ini selepas mendapat persetujuan daripada Setiausaha Parlimen.
Kertas Putih Kesihatan menggariskan empat tonggak dan 15 strategi reformasi kesihatan dan akan dilaksanakan sebagai reformasi berperingkat selama 15 tahun. – UTUSAN










