SEGM bantu perkembangan industri gig negara - Mohd. Sharkar - Utusan Malaysia

SEGM bantu perkembangan industri gig negara – Mohd. Sharkar

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia (SEGM) oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat boleh membantu perkembangan industri gig negara.

Ketua Sekretariat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kesatuan Sekerja UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, pihaknya menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan Ahmad Zahid mengutarakan cadangan terbabit kepada kerajaan dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.

Katanya, cadangan penubuhan SEGM oleh Sekretariat NGO dan Kesatuan Sekerja UMNO adalah hasil daripada sesi libat urus sekretariat itu bersama wakil Persatuan Penghantar dan Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM) pada 26 Mei yang lalu.

“Hasil daripada sesi libat urus tersebut, Sekretariat NGO dan Kesatuan Sekerja UMNO, Persatuan Penghantar dan GEM mencadangkan penubuhan SEGM sebagai langkah besar untuk menyelesaikan isu pertindihan kuasa dalam usaha mengawal selia keseluruhan ekosistem industri gig.

“Hasil kajian sekretariat, terdapat 10 kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat untuk mengawal selia rantaian persekitaran industri gig. Dengan adanya suruhanjaya ini, punca kuasa untuk mengawal selia industri gig akan dapat dipusatkan secara sistematik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Sharkar, perkembangan industri gig begitu pesat di negara ini dengan 2.2 juta pekerja sudah berdaftar dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) setakat hari ini.

“Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, 30 peratus daripada keseluruhan pekerja negara ini adalah daripada industri gig yang mana mengikut kajian, jumlah ini akan meningkat kepada 60 peratus menjelang 2027,” katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya mendapati akta yang diwujudkan sebelum ini belum dapat menyelesaikan isu berbangkit dalam industri itu secara tuntas.

“Masih ada lagi rungutan dari pemegang taruh terutama penggerak industri gig yang terdiri daripada penghantar dan pemandu. Oleh itu, saya mewakili sekretariat menyokong penuh cadangan penubuhan SEGM ini dan akan berusaha membantu merealisasikannya.

“Saya berharap agar usaha proaktif untuk menubuhkan suruhanjaya ini akan dapat membantu perkembangan industri gig di Malaysia dan memastikan persekitaran industri gig ini dapat dikawal selia untuk menjaga keseluruhan rantaian ekosistem industri gig,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya