Segerakan transformasi struktur industri gig, perkukuh ekosistem e-hailing, p-hailing - Utusan Malaysia

Segerakan transformasi struktur industri gig, perkukuh ekosistem e-hailing, p-hailing

ABDUL HAKIM ABDUL RANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Industri ekonomi gig Malaysia kini berada di titik genting yang menuntut reformasi struktur menyeluruh, penyelarasan dasar rentas kementerian dan intervensi kawal selia progresif demi masa depan lebih 100,000 pemandu e-hailing dan p-hailing, daya saing ekonomi digital negara serta keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan berasaskan platform.

Naib Presiden Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG), Abdul Hakim Abdul Rani berkata, ekonomi gig bukan sekadar model pekerjaan alternatif, sebaliknya sudah berkembang menjadi salah satu pemacu utama ekonomi digital negara yang menyediakan peluang pendapatan dan menyokong ekosistem mobiliti penghantaran makanan, logistik dan perdagangan digital.

“Sehubungan itu, MyGiG menggesa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengkaji semula pertumbuhan syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) dan p-hailing (PHO) yang dilihat semakin tidak seimbang dengan kapasiti dan daya serap pasaran industri. Sehingga Jun lalu, sebanyak 31 syarikat EHO diluluskan dan berdaftar dengan APAD.

“Bagaimanapun, persoalan utama adalah berapa banyak daripada syarikat tersebut yang benar-benar aktif, mempunyai kapasiti operasi yang mencukupi, mematuhi keperluan kawal selia serta mampu beroperasi secara berdaya maju dalam jangka panjang,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Abdul Hakim berkata, MyGiG turut menggesa kerajaan mempertimbangkan mengembalikan pelaksanaan ujian Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) sebagai salah satu mekanisme utama saringan kemasukan ke dalam industri e-hailing.

Katanya, pihaknya mengakui bahawa gesaan tersebut mungkin tidak popular dalam kalangan sesetengah pihak, bagaimanapun, kepentingan jangka panjang industri perlu diberikan keutamaan berbanding pertimbangan jangka pendek demi memastikan standard kemasukan industri terus dipelihara.

“PSV tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai syarat pematuhan peraturan. Sebaliknya, perlu berfungsi sebagai instrumen profesionalisme industri yang memastikan hanya individu yang benar-benar layak, berdisiplin, memahami aspek keselamatan jalan raya, pengurusan risiko, perkhidmatan pelanggan serta tanggungjawab sebagai penyedia perkhidmatan awam dibenarkan beroperasi,” katanya.

Menurutnya, MyGiG juga sekali lagi menegaskan supaya sistem tawar-menawar dalam industri e-hailing diharamkan kerana telah mewujudkan persaingan harga yang tidak sihat, memberi tekanan terhadap struktur pendapatan pemandu e-hailing serta menjejaskan usaha memperkukuh profesionalisme dan keselamatan industri.

“Pemandu e-hailing tidak seharusnya dipaksa bersaing semata-mata berdasarkan harga sehingga menjejaskan pendapatan bersih, meningkatkan tempoh bekerja serta mengurangkan kualiti perkhidmatan yang diterima oleh pengguna,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, majlis itu turut menggesa APAD untuk mempertimbangkan pelaksanaan Dasar Tambang Dinamik Minimum Nasional bagi sektor e-hailing serta Dasar Upah Dinamik Minimum Nasional bagi sektor p-hailing.

Dasar itu katanya, perlu mengambil kira kos operasi sebenar termasuk bahan api, penyelenggaraan kenderaan, premium insurans, inflasi, masa perjalanan, jarak perjalanan, keadaan trafik, faktor cuaca serta keperluan perlindungan sosial.

“MyGiG turut menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memperincikan hasil intervensi yang dilaksanakan berhubung isu kenaikan premium insurans e-hailing dan mempertimbangkan semula struktur premium sedia ada agar lebih adil, telus dan selaras dengan profil risiko sebenar pemandu,” katanya.

Abdul Hakim berkata, MyGiG berpandangan bahawa penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bukan lagi suatu pilihan, sebaliknya merupakan suatu keperluan strategik negara yang perlu direalisasikan dengan segera.

“Ekonomi gig bukan lagi isu sektoral yang hanya melibatkan pengangkutan semata-mata. Sebaliknya, ia telah berkembang menjadi agenda pembangunan ekonomi negara yang merentasi pelbagai bidang dasar dan melibatkan sekurang-kurangnya 15 kementerian, 25 agensi kerajaan serta badan-badan berkanun yang mempunyai fungsi, bidang kuasa dan tanggungjawab tersendiri terhadap pembangunan, kawal selia, perlindungan sosial, penguatkuasaan, percukaian, keselamatan serta kebajikan industri,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pendekatan tadbir urus sedia ada yang bersifat berasingan mengikut fungsi kementerian dan agensi tidak lagi memadai untuk menangani cabaran industri ekonomi gig yang semakin kompleks dan dinamik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN