KUBANG PASU: Selama 27 tahun terpisah dengan ibu, tidak sesaat pun ingatan Saufi Marwan Muhammad Hariri melupakan wanita itu, namun dek kerana ego, dia tega menidakkan kerinduan itu.
Namun kata Saufi Marwan, 32, dari Kodiang, kematian bapanya pada 2021 menjadikan hidupnya benar-benar kosong sebelum mengambil keputusan menjejaki ibunya, Che An Asri, 56, di Satun, Thailand.
“Selama 27 tahun saya hidup dengan perasaan marah dan dendam kepada emak kerana anggap dia yang tinggalkan saya dan tak pernah mahu mencari saya. Tetapi bila ayah meninggal dunia, saya jadi benar-benar kosong dan rindu kepada emak jadi sangat mendalam.
“Isteri (Najla Zakaria, 32) banyak bagi dorongan kepada saya untuk cari ibu. Saya tak tahu di mana emak masa itu cuma tahu berada di Satun saja. Alhamdulillah, pengaruh media sosial akhirnya menemukan saya dengan emak sehari sebelum Hari Raya puasa tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Saufi Marwan yang juga seorang guru memberitahu, dia hanya mengambil masa tiga hari untuk menjejaki ibunya yang berada di Kampung Bannangpulau, Satun melalui seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Natrah.
“Kalau kita ikhlas Allah mudahkan semuanya. Saya buat hantaran di Facebook pada 1 April 2022 dan seorang wanita bernama Natrah menghubungi saya memberitahu dia mengenali emak di Satun. Tiga hari kemudian saya dapat nombor telefon emak dan terus telefon.
“Setelah bertemu dengan emak saya dapat tahu semuanya. EMak pernah tiga kali datang untuk bertemu saya namun gagal. Saya rasa bersalah sangat kerana selama ini saya menganggap dia meninggalkan saya sepenuhnya.
“Apa yang berlaku sudah saya lupakan, Buang yang keruh ambil yang jernih. Saya rasa sangat bersyukur kerana dipertemu dengan emak pada masa yang saya rasa tepat kerana takdir Allah ada hikmahnya,” katanya.
Menurut Saufi, apa yang membahagiakan dirinya kini adalah dia turut menemukan empat lagi adik-beradiknya yang tinggal bersama ibu di Satun termasuk adik perempuan kandung berusia 27 tahun.
“Hidup saya tak kosong lagi, saya ada emak dan adik-adik. Sekarang setiap hari saya telefon emak dan berbual dengannya. Harapan saya kini satu nak jaga emak. Kehidupan emak di Satun sangat daif dan saya syukur dapat berbakti kepadanya.
“Apabila cuti sekolah saya akan bawa emak ke sini kerana hari biasa beliau terpaksa jaga cucu-cucunya di sana. Kodiang dengan Satun cuma dua jam perjalanan dan kadang-kadang kalau rindu saya terus ke sana bawa anak dan isteri,” kata bapa kepada dua anak itu.
Bercerita tentang kandungan TikTok pertemuan semula itu yang tular sehingga meraih tontonan hampir sejuta, kata Saufi Marwan, dia tidak menjangka kisahnya yang hanya untuk berkongsi turut menjadi inspirasi kepada mereka yang senasib dengannya.
“Rupa-rupanya banyak yang mengalami nasib seperti saya yang terpisah dengan ibu bapa sejak kecil. Ada yang mesej kepada saya. Saya cuma berpesan, seburuk atau sejahat mana pun ibu bapa kita mereka tetap orang tua kita kerana tanpa mereka kita tak ada di dunia ini.
“Kalau terpisah lama itu carilah mereka dan dengar cerita mereka kenapa jadi macam itu, kenapa mereka meninggalkan kita. Kita akan mendapat jawapannya,” katanya.-UTUSAN










