Royalti: Jamal, 29 penggiat seni dibenar mula tindakan saman

Royalti: Jamal, 29 penggiat seni dibenar mula tindakan saman

JAMAL Abdillah selaku wakil selebriti bersama sebahagian daripada 32 orang selebriti yang hadir bagi mendengar keputusan kebenaran untuk memulakan tindakan saman terhadap syarikat Prism Berhad berhubung pembayaran royalti di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.-UTUSAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 30 penggiat seni tanah air berjaya memperoleh kebenaran untuk memulakan tindakan saman terhadap Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) yang menguruskan royalti mereka sebelum ini.

Dengan kebenaran tersebut, kumpulan penggiat seni itu boleh memfailkan saman terhadap PRISM dan pihak-pihak lain yang berkaitan bagi membolehkan mereka mengesan kutipan wang royalti yang diterima syarikat terbabit daripada tahun 2017 hingga 2022 dan mendapatkan bayaran yang sepatutnya.

Terdahulu, Hakim Ahmad Murad Abdul Aziz memberikan kebenaran tersebut selepas membenarkan permohonan yang dibuat berdasarkan Seksyen 471 Akta Syarikat 2016.

Hadir pada prosiding hari ini ialah peguam-peguam, Datuk Kamaruzaman Arif, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman, Sofiah Omar dan Muhammad Izzat Dzulkafli yang mewakili penggiat-penggiat seni itu.

Turut hadir ialah pegawai penerima dan pelikuidasi yang juga peguam kanan Persekutuan dari Jabatan Insolvensi Kuala Lumpur, Rahni Kartini Abd. Rahim dan Norizan Omar.

Antara penggiat seni itu ialah Datuk Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali; Datuk DJ Dave nama penuhnya, Irwan Shah Abdullah; Datuk J Sham (Shamsuddin Jaafar); Azharina Azhar dan Aris Ariwatan (Haris Fadzilah Daud).

Kesemua pemohon yang merupakan penyanyi dan pemuzik memfailkan permohonan itu pada 8 Disember 2022 dengan menamakan PRISM yang kini telah digulungkan, sebagai responden.

Menurut afidavit sokongan yang difailkan oleh Jamal, PRISM diisytiharkan sebagai suatu badan pelesenan di bawah Seksyen 27A Akta Hakcipta 1987 untuk menjalankan aktiviti kutipan dan pengagihan royalti muzik bagi pihak ahli-ahlinya yang terdiri daripada penyanyi dan pemuzik.

Dakwa Jamal, PRISM gagal mengutip dan membuat pengagihan jumlah kutipan royalti yang layak diterima oleh pemohon-pemohon bagi tempoh 2017 hingga 2021 dan kesemua pemohon masih belum menerima apa-apa bayaran daripada jumlah kutipan royalti tersebut yang layak diterima mereka daripada syarikat terbabit.

Oleh itu, pemohon memohon deklarasi bahawa PRISM telah cuai menjalankan tugasnya sebagai pemegang amanah untuk mengutip dan mengagihkan wang royalti bagi kesemua pemohon dan memohon perintah antaranya supaya PRISM membayar royalti bermula 1 Januari 2017 hingga 31 Disember 2021.

Sementara itu, Kamaruzaman ketika ditemui berkata, pihaknya akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap PRISM dan pihak-pihak lain yang berkaitan secepat mungkin bagi membolehkan pihak mengetahui bagaimana kutipan, pengiraan dan pengagihan royalti dibuat kerana ia membabitkan wang amanah.

“Kita tahu wang royalti ini telah dikutip pada 2017 dan 2018, namun bagi tahun seterusnya tiada maklumat sama ada wang tersebut telah dikutip atau tidak.

“Keputusan hari ini sangat menggembirakan dan ia merupakan pasca baru untuk dunia hiburan. Pihak terlibat perlu memberi penjelasan kepada mahkamah mengapa artis-artis tidak mendapat bayaran royalti sedangkan lagu mereka dimainkan di radio,” katanya.

Sementara itu, pelantun lagu ‘Kekasih Awal dan Akhir’, Jamal bersyukur dengan keputusan hari ini dan berharap agar golongan artis tidak lagi tertindas pada masa depan.

Penyanyi, Aris Ariwatan yang turut hadir pada prosiding hari ini turut menyifatkan keputusan hari ini sebagai titik permulaan baharu untuk penggiat seni tanah air.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya