RM2b setahun pencen wakil rakyat

RM2b setahun pencen wakil rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pencen bekas ahli Parlimen dan Anggota Pentadbiran termasuk bekas Perdana Menteri perlu dikaji semula memandangkan kerajaan kini terpaksa membelanjakan RM2 bilion setahun bagi menanggung saraan tersebut.

Jumlah itu boleh membina 10 sekolah jika kos sebuah dikatakan RM200 juta atau dua hospital canggih dengan setiap satu menelan RM1 bilion.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, perbelanjaan itu terus meningkat setiap kali ada ahli Parlimen dan anggota Kabinet yang tidak lagi berkhidmat manakala isteri masing-masing terus me­nerima manfaat itu apabila ahli politik terlibat meninggal dunia.

KERJAYA

Katanya, perkara itu tidak seharusnya berlaku memandangkan status ‘Yang Berhormat’ bukan satu kerjaya untuk mendapat habuan sepanjang hayat sebaliknya mereka dipilih rakyat dalam pilihan raya bagi mengangkat suara dan hak pengundi agar terbela.

Beliau berpandangan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 perlu dikaji dengan melihat semula peruntukan bagi saraan wakil-wakil rakyat khususnya kerajaan kini terbeban ekoran peningkatan perbelanjaan sehingga mahu mengkaji segala bentuk subsidi rakyat.

“Antara kajian akta ini, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan bayaran pencen hanya untuk tempoh lima tahun sahaja selepas bersara.

“Hal ini kerana pencen terus diterima bekas-bekas wakil rak­yat sepanjang hayat dan sekali pun selepas meninggal dunia, isteri mereka terus menerima saraan. Jadi perbelanjaan ini tidak berkurang malah bertambah setiap kali ahli Parlimen atau Anggota Pentadbiran tidak lagi ber­khidmat,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Khairul Anwar menerusi hantaran Facebook meminta kerajaan menjelaskan kos RM2 bilion setahun yang didakwa dibelanjakan membayar pencen bekas ahli Parlimen dan anggota Kabinet termasuk Perdana Menteri selepas mendapat maklumat dalaman yang digelarnya sebagai ‘blue bird’.

Di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, undang-undang ini menetapkan ahli Dewan Rakyat yang telah melengkapkan sekurangnya 36 bulan perkhidmatan, layak mendapat pencen maksimum 3/5 daripada gaji. Sebagai contoh, gaji ahli Parlimen adalah RM16,000 maka pencen diterima adalah 3/5 x RM16,000 = RM9,600.

ENGGAN

Ketika ditanya siapa sumber itu, beliau enggan mendedahkan pemberi maklumat itu namun ia berdasarkan sumber dipercayai bahawa kerajaan membelanjakan RM2 bilion setahun bagi tujuan pencen ahli politik bertaraf ahli Parlimen, timbalan menteri, menteri sehingga perdana menteri.

“Jika tidak betul, sila tampil jelaskan berapa jumlah sebenar. Tetapi kalau betul, kerajaan pun kena jelaskan kepada rakyat. Jumlah ini belum masuk jika seseorang itu pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Exco dan Menteri Besar,” ujar beliau.

Khairul Anwar kemudian me­minta ahli Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang untuk membangkit soalan berhubung jumlah sebenar saraan itu dalam sesi Parlimen esok.

Tegas beliau, Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berani melakukan perubahan besar terhadap Akta Saraan Ahli Parlimen kerana setiap kali perubahan tampuk kepimpinan, tiada pihak mahu berbuat demikian dan ak­hirnya rakyat terpaksa menanggung beban tersebut.

Bagi Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, adalah tidak munasabah dan adil jika ahli Parlimen hanya berkhidmat dalam beberapa tempoh dapat menerima pencen sedangkan penjawat awam kena bertugas selama 20 tahun barulah boleh mendapat duit persaraan.

Bagaimanapun kata beliau, adalah agak mustahil jika mahu meminda Akta Parlimen memandangkan perkara itu memerlukan persetujuan ahli Parlimen yang akhirnya mereka akan melihat pencen itu penting untuk masa depan masing-masing selepas tidak berkhidmat kelak.

“Jadi semua Ahli Parlimen perlu berjiwa besar dan berkorban untuk meluluskan pindaan Akta Ahli Parlimen jika perkara itu dibentangkan kerajaan nanti,” katanya.

Justeru jelasnya, menghapuskan pencen wakil rakyat mungkin sukar dilakukan sebaliknya kerajaan wajar melihat untuk mengurangkan atau memberikan dengan kadar berpada-pada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN