PRN: Tiada jalan pintas UMNO-PH

PRN: Tiada jalan pintas UMNO-PH

KHALID SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada jalan pintas untuk Pakatan Harapan (PH) dan UMNO bagi menghadapi pilihan raya di negeri tidak lama melainkan saling memanfaatkan kelebihan masing-masing.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, PH mempunyai kelebihan iaitu dalam membudayakan tatakelola pentadbiran baik yang sudah menjadi keutamaan dalam pentadbiran negara hari ini.

Menurutnya, UMNO pula memiliki jaringan akses yang lebih baik dengan rakyat terutamanya masyarakat Melayu di seluruh negara.

SINERGI

Oleh demikian, jelasnya kerjasama PH dan UMNO ini adalah suatu sinergi baik untuk menghadapi cabaran ‘gelombang hijau’ yang dibawakan Perikatan Nasional (PN).

“Ahli UMNO mesti melihat bahawa mereka akan bertambah maju dalam bekerjasama dengan PH. Budaya good governance yang dibawa PH boleh dicontohi UMNO, kerana itu kelemahan mereka selama ini.

“Manfaat yang UMNO bawa kepada PH pula adalah akses kepada masyarakat terutamanya orang Melayu.

“Melalui UMNO, PH boleh menjelaskan kekeliruan yang timbul berkaitan gabungan tersebut kepada masyarakat Melayu supaya mereka boleh menerimanya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai faktor yang boleh PH dan Barisan Nasional (BN) gunakan untuk menghalang ‘gelombang hijau’ pada pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

Antara faktor yang diunjurkan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin adalah mengekalkan kestabilan politik bagi meningkatkan keyakinan pelabur dan memulihkan semula ekonomi negara.

Dua faktor lagi yang menjadi penentu kepada usaha mengekang gelombang tersebut adalah memastikan 1.5 ahli UMNO di enam negeri terlibat keluar mengundi dan tidak memboikot calon ditampilkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di samping berjaya memikat hati 4.9 juta pengundi muda.

“Rakyat kini sudah muak dengan permainan politik tidak kesudahan, jadi mereka dilihat cenderung sebuah parti yang stabil. Jadi kerjasama parti-parti Kerajaan Perpaduan ada kelebihan ini berbanding lain.

AURA

“Selain itu, aura Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedikit sebanyak dapat mempengaruhi kecenderungan pengundi khususnya dalam atas pagar yang masih belum memutuskan parti manakah bakal dipilih, jika mereka melihat kriteria ini maka calon-calon parti Kerajaan Perpaduan boleh jadi pilihan utama.

“Bagaimanapun politik ini sering berubah dan dinamik, boleh berubah pada bila-bila masa khususnya PRN tidak lama lagi apatah lagi kecenderungan pengundi yang boleh bertukar pada saat akhir,” katanya.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, kerjasama PH dan UMNO berpotensi diteruskan jika keserasian dapat dikekalkan selain menghormati antara satu dengan lain.

“Kerjasama ini bukanlah ‘nikah mutaah’, sebaliknya jika keserasian dikekalkan dan ma­sing-masing menghormati satu dengan lain, ia boleh berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN