SHAH ALAM: Tiada gelombang hijau di Selangor sebaliknya jentera Pas di negeri ini diarah menggerakkan kempen menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) berikutan calon-calon daripada parti itu akan bertanding atas tiket gabungan tersebut.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, bagaimanapun beliau tidak menafikan hakikat kewujudan gelombang tersebut susulan berlaku defisit kepercayaan pengundi terhadap parti kerajaan.
“Sebab itu dalam Pas sendiri saya sebutkan, dalam PN kita kena tunjukkan kekuatan dan kesiapsiagaan tonjolkan dalam PN. Baju PN kita kena sarungkan supaya rakyat benar-benar nampak.
KEPERCAYAAN
“Apatah lagi dengan keadaan parti-parti yang mereka hilang kepercayaan seperti Barisan Nasional (BN) dan DAP seperti yang saya sebutkan pada hari ini, gelombang PN akan menjadi lebih melebar lagi dan di Pantai Timur, tidak dinafikan, di Pantai Barat gelombang ini akan lebih melebar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Timbalan Pengerusi PN Selangor itu menambah, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN kini berdepan masalah untuk meraih sokongan orang muda apabila pengundi berusia 40 tahun dalam kalangan penyokong tegar sebelum ini dipercayai enggan berpihak kepada mereka.
“Jelas, pada pengundi UMNO bila berjumpa saya, mereka kata akan mengundi PN, sementara penyokong DAP, orang Cina pula saya tengok mereka tidak mahu turun mengundi pada pilihan raya akan datang kerana kecewa seolah-olah ditipu oleh pemimpin sendiri parti itu.
“Apabila dilihat pemimpin mereka sudah tidak bercakap soal 1MDB, kleptokrasi (dalam Parlimen), gasak dahulu mengutuk UMNO bukan sahaja dalam Parlimen, tetapi di luar. Hari ini tidak berbunyi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ahmad Yunus turut menjelaskan pendirian Pas negeri terhadap pembentukan kerajaan negeri sama ada dibentuk oleh Bersatu seperti dinyatakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau sebaliknya.
“Di peringkat negeri, kita tidak pernah bincang soal Menteri Besar, itu mungkin pandangan daripada pimpinan, kita (Pas) pernah bersama dengan gabungan-gabungan lain sebelum ini, kita pun pernah menang 15 kerusi dan kita pun tak pernah menjadi Menteri Besar Selangor.
“Kita akur dan Pas sendiri sangat akur dengan keputusan daripada pimpinan pusat. Di peringkat negeri pun saya pernah bercakap dengan Datuk Seri Mohamed Azmin (Pengerusi PN Selangor), isu Menteri Besar tidak berbangkit, yang penting adalah tumpuan untuk menang,” tegasnya. – UTUSAN










