Presiden PBM: Zuraida gagal dapat kebenaran

Presiden PBM: Zuraida gagal dapat kebenaran

ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin tidak dibenar oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk memulakan semakan kehakiman agar Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengiktirafnya sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Perkara tersebut diputuskan selepas Hakim Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Hakim Amarjeet berpuas hati mahkamah tidak boleh mendengar apa-apa pertikaian berkaitan isu dalaman parti berdasarkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

Seksyen itu menyatakan, keputusan membabitkan parti adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayu atau dipersoalkan di mahkamah.

Ujar beliau, mahkamah turut terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu tersebut.

Dalam prosiding hari ini, peguam Mohamed Ashmeer Ashrof mewakili Zuraida manakala Peguam Persekutuan M. Kogilambigai mewakili responden.

Zuraida, 65, selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap RoS sebagai responden pada 24 Mac lalu.

Dalam permohonan tersebut, bekas Ahli Parlimen Ampang itu memohon deklarasi bahawa tindakan responden mengekalkan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shein sebagai Presiden PBM adalah tidak sah.

Pada prosiding 12 April lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengemukakan bantahan terhadap permohonan Zuraida atas alasan pertikaian yang ditimbulkan oleh pemohon merupakan hal dalaman parti yang tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Bagaimanapun, pihak pemohon berpendirian isu yang dibangkitkan tidak melibatkan hal dalaman parti sebaliknya menyentuh kegagalan RoS untuk mengisytiharkan Zuraida sebagai presiden parti walaupun notis berhubung pelantikan itu telah dihantar kepada agensi terbabit.

Zuraida turut memohon perintah mandamus bagi mengarahkan RoS mendaftar atau mengiktiraf pemohon sebagai Presiden PBM berkuat kuasa 7 Oktober 2022.

Menerusi afidavit sokongan, beliau menerima surat daripada PBM pada 27 Oktober 2022 yang memaklumkan mengenai pelantikan beliau sebagai Presiden PBM berkuat kuasa 7 Oktober 2022.

Bagaimanapun Zuraida berkata, beliau menerima surat daripada parti berkenaan bertarikh 19 Disember 2022 yang mana Larry mengisytiharkan diri sendiri sebagai Presiden PBM dan menggantung keahliannya.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, beliau mengetahui mengenai pemecatannya daripada PBM melalui portal berita The Star pada 27 Disember 2022, namun tidak pernah menerima sebarang notis, surat atau makluman daripada parti itu mengenai pemecatannya.

“Memandangkan YB (Yang Berhormat) Larry Soon dikekalkan oleh responden sebagai Presiden PBM, tiada keperluan bagi PBM untuk mematuhi Fasal 14 di bawah perlembagaannya untuk memecat saya.

“Pemecatan saya yang tidak sah ini telah mendapat siaran media dan ini mengakibatkan kerosakan teruk kepada imej politik saya.

“Saya percaya bahawa sekiranya responden telah mendaftarkan saya sebagai Presiden PBM setelah menerima surat tersebut, saya tidak mungkin boleh dipecat secara tidak berperlembagaan,” kata Zuraida dalam afidavit itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya