Politeknik lahirkan lebih 600,000 graduan TVET sejak ditubuhkan - Utusan Malaysia

Politeknik lahirkan lebih 600,000 graduan TVET sejak ditubuhkan

MUHAMMAD RUMZI MAMAT (duduk) cuba melukis di kepingan ‘bookmark’ sempena pameran Viscom Silver anjuran PIS di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Politeknik berjaya melahirkan lebih 600,000 graduan dalam bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejak institusi itu ditubuhkan pada 1969.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Muhammad Rumzi Mamat berkata, kesemua graduan itu dilahirkan oleh 36 politeknik seluruh negara itu majoritinya berkelulusan sijil dan diploma, manakala tiga politeknik premier turut menawarkan ijazah sarjana muda.

“Sejak mula ditubuhkan pada tahun 1969 dengan politeknik pertama, iaitu Politeknik Ungku Omar di Ipoh, kita telah lahirkan lebih 600,000 graduan TVET dalam pelbagai kepakaran. Kita juga maklum sebilangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) enggan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, sebaliknya memilih untuk terus bekerja demi kelangsungan kehidupan.

“Namun dalam masa sama, kita tidak menyerah kalah untuk terus menarik lebih ramai generasi muda untuk mengikuti bidang TVET demi masa depan mereka. Untuk itu, kita adakan pelbagai program dan promosi seperti program asasi TVET yang berjaya menarik 500 pendaftaran baharu.

“Selain itu, kita juga menawarkan bidang kemahiran jangka masa pendek yang sesuai untuk masyarakat dalam komuniti, dengan ini mereka boleh mendapatkan sijil kelayakan yang boleh digunakan untuk bidang kerja tertentu,” katanya selepas merasmikan ‘Viscom Silver’ sempena Sambutan Jubli Perak Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), di pusat beli-belah Toppen, di sini hari ini.

Muhammad Rumzi berkata, pihaknya bertekad membantu pembangunan negara berteknologi tinggi dengan melahirkan lebih ramai graduan yang menggalas tugas sebagai tenaga kerja berkepakaran.

“Kita lihat beberapa negara yang menjadikan bidang TVET sebagai sandaran ekonomi negara seperti Jepun dan Jerman, mereka adalah negara yang unggul dalam bidang ini.

“Jadi, menerusi politeknik dan kolej komuniti ini, kita akan terus menyediakan tenaga kerja di peringkat ini sebagai menyahut seruan kerajaan dengan graduan ini merupakan tulang belakang bagi ekonomi negara,” katanya sambil memaklumkan pihaknya berhasrat menjadikan politeknik dan kolej komuniti sebagai peneraju dalam bidang seni artistik tinggi (high arts) dalam ekosistem TVET.

Inisiatif itu bertujuan melahirkan graduan yang mempunyai nilai kebolehan pasaran tinggi dengan memperkasakan bidang seni yang diintegrasikan dengan teknologi.

“Pada masa ini, ada lima politeknik yang dipilih menjadi peneraju dan menawarkan bidang ini, iaitu PIS, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Politeknik Muadzam Shah, Politeknik Metro Tasek Gelugor dan Politeknik Besut Terengganu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.