PETALING JAYA: Selangor bakal menyaksikan lokasi penamaan calon paling banyak berdasarkan jumlah Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu 56 kawasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menurut sumber, pegawai dan penolong pegawai daerah atau pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dilantik sebagai Pengurus Pilihan Raya (RO) di setiap 56 kawasan DUN.
“Kemudahan seperti sekolah, dewan dan balai raya akan menjadi lokasi mengundi dan turut dijangka berlaku pertambahan tempat mengundi berdasarkan peningkatan jumlah pengundi.
MESYUARAT
Bagaimanapun, kesemuanya akan dimuktamadkan pada Julai nanti selepas SPR bermesyuarat, ” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Di Kelantan, beberapa kawasan DUN akan berkongsi lokasi untuk proses penamaan calon pada PRN ini.
Menurut sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, pihaknya sudah menyediakan pelan dan gerak kerja lengkap bagi memastikan kelancaran proses berkenaan.
Di Negeri Sembilan, proses pelaksanaan PRN menyaksikan lokasi pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi diadakan berasingan bagi setiap DUN.
Ia berbeza berbanding amalan ketika pilihan raya umum di mana pusat penamaan calon setiap DUN dibuka bersama mengikut Parlimen masing-masing.
Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, beliau mendapat maklumat berkenaan ketika mengadakan pertemuan dengan pihak SPR Negeri Sembilan baru-baru ini.
“SPR maklumkan pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi akan dibuka sebanyak 36 buah mengikut jumlah DUN yang ada di negeri ini, jadi lebih mudah untuk parti kumpul penyokong masing-masing,’’ kata beliau.
Kee Chin yang juga Setiausaha DAP Negeri Sembilan berharap SPR dapat memilih pusat penamaan calon yang sesuai dan terletak di dalam kawasan DUN itu sendiri.
Di Terengganu, Badan Perhubungan UMNO negeri akur sekiranya proses penamaan calon diadakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sumber parti berkata, proses penamaan mengikut kawasan DUN memudahkan kawalan keselamatan pihak berkuasa.
“Di Terengganu, kesemua Parlimen mempunyai empat kawasan DUN, kalau penamaan calon diadakan mengikut Parlimen, jumlah kehadiran penyokong akan lebih ramai,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Dalam pada itu, di Pulau Pinang, sumber SPR enggan mengulas manakala pemimpin-pemimpin parti yang dihubungi menyatakan belum mendapat maklumat mengenainya.
Keadaan yang sama berlaku di Kedah kerana SPR belum memaklumkan maklumat berhubung proses itu. – UTUSAN










