PETALING JAYA: Hampir semua peniaga di seluruh negara berdepan cabaran apabila jumlah pelanggan kedai makan merosot antara 30 hingga 60 peratus sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Tinjauan di Selangor, Pahang, Johor dan Perlis mendapati ramai yang mengeluh dan mendakwa mereka terpaksa mengurangkan kuantiti masakan bagi mengelakkan juadah tidak habis dan menambahkan lagi kerugian.
Perkara itu didakwa berpunca daripada pelanggan yang mengambil langkah berjimat ketika berdepan kos sara hidup yang meningkat.
Di Kuala Langat, Selangor, peniaga restoran di Teluk Panglima Garang, Shahrani Samiri, 54, berkata, masalah kurang pelanggan sudah berlaku selepas Ramadan dan yang datang pula hanya memilih menu dengan sejenis lauk dan ditambah satu sayur.
Selain itu, kata Shahrani, sejak beberapa bulan lalu, restorannya berdepan kekurangan pelanggan 50 hingga 60 peratus dan kebanyakan pelanggan kini lebih banyak bungkus makanan dan dibawa makan di rumah.
Pemilik restoran di Kampung Sungai Lang di sini, Rosli Abdullah, 50, berkata, sejak akhir-akhir ini kedainya banyak menerima pesanan lauk seperti ayam dan daging paprik.
RAMAI
“Tengah bulan hingga hujung bulan memang tidak ramai yang datang ke kedai saya untuk menjamu selera. Memang sekarang orang berjimat cermat, semua kedai makan mengalami masalah sama.
“Sebahagian besar mereka memesan sendiri makanan melalui panggilan telefon dan datang mengambil makanan dipesan dan terus beredar, tidak duduk lama di restoran rasanya hendak elak daripada memesan tambahan menu lain,” katanya.
Tinjauan di Medan Selera, Seksyen 8, Petaling Jaya, seorang peniaga Ahsiyah Abu Wahab, 62, berkata, sebelum tahun ini, dia memasak 20 kilogram (kg) sehari tetapi kini hanya 10kg seharai.
“Kami semakin susah untuk meniaga kerana pelanggan yang singgah makin hari makin berkurangan bukan kerana harga makanan semakin naik tetapi saya rasa ramai sedang dalam fasa berjimat cermat.
LAUK
“Saya juga hari ke hari mengurangkan jenis lauk kerana jika tidak habis bukan sahaja membazir tetapi merugikan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr. Jacob George berkata, kenaikan harga barang sekarang hampir 40 peratus sehingga 70 peratus malah ada sesetengah barang lagi tinggi.
Menurut Jacob, kejatuhan nilai ringgit menjadi salah satu punca harga barang makin meningkat.
“Jadi pengguna perlu lebih bijak dalam membeli dan berbelanja supaya tidak melebihi bajet kerana ekonomi kita sekarang dalam keadaan yang tidak baik,” katanya.
Di Pahang, tinjauan di pekan sehari dan pasar harian di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Maran dan Jerantut mendapati suasana di premis jualan tidak ramai pelanggan.
Pengerusi Gabungan Peniaga dan Penjaja Melayu Malaysia (Gapema) negeri, Rohani Mahat, 49, berkata, rakyat semakin tersepit dan lebih berhati-hati untuk berbelanja ketika harga barang semua melonjak
Menurut beliau, kira-kira 2,000 ahli Gapema mengeluh dan 10 peratus membabitkan 300 orang gulung tikar tidak mampu meneruskan perniagaan kerana margin keuntungan sangat kecil.
Seorang peniaga pasar malam Rosimah Hamdan, 54, dari Felda Jengka 2 berkata, masa depan peniaga kecil ketika ini malap selagi kemelut kenaikan harga barang tidak dikawal sepenuhnya.
Menurutnya, sebagai contoh, harga nasi ayam ketika ini dijual RM8.50 hingga RM9.50 sepinggan berbanding hanya RM5 sebelum ini.
Seorang peniaga restoran, Meor Shahriman Abdul Ghaffar, 58, dari Bandar Tun Abdul Razak Jengka berkata, perniagaan makanan sekadar ‘cukup makan’ ketika ini.
Ahli Jawatankuasa Peniaga dan Penjaja Kecil Wilayah Jengka, Abdul Latif Umar, 62, berkata, rakyat sudah lama bersuara berkaitan kenaikan harga barangan tetapi tidak ada pa-apa yang berubah.
“Kesan pandemik Covid-19 masih terasa dan pendapatan ribuan peniaga kecil bumiputera yang berniaga di pasar tani, pasar karat, pasar panas, car boot sale, pasar pagi dan pekan sehari tidak mampu menampung kesan kenaikan harga barangan,” katanya. – UTUSAN










