Pelanggan berjimat, peniaga 'pening'

Pelanggan berjimat, peniaga ‘pening’

GAMBAR HIASAN – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kebanyakan kedai makan di sekitar negeri ini yang dahulunya penuh sesak khususnya pada hujung bulan mulai sunyi serta suram sekali gus memberi kesan kepada para peniaga.

Orang ramai juga dilihat sudah jarang keluar makan di luar sebaliknya lebih selesa menyediakan makanan di rumah kerana perlu berjimat cermat disebabkan faktor tekanan kos sara hidup yang semakin mendesak.

Suasana suram tersebut dikongsikan seorang peniaga makanan, Zaharah Kasa, 62, di Pauh di sini yang sudah lebih 30 tahun menjalankan perniagaan dan hasil jualan sejak kebelakangan ini adalah yang paling teruk merosot sehingga 30 peratus.

BAHAN MENTAH

Dia yang menjalankan perniagaan nasi campur pada sebelah siang dan masakan panas pada malam berkata, di sebalik pe­langgan yang semakin kurang, peniaga juga berdepan kos bahan mentah yang semakin tinggi.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak sanggup untuk menaikkan harga makanan kerana memikirkan pelanggan juga terkesan dengan kos sara hidup ketika ini.

“Jika sebelum ini, waktu orang menerima gaji, kedai makan sentiasa penuh namun sekarang, hanya sehari atau dua hari sahaja ramai apabila hari gaji.

“Mungkin sekarang semua orang tengah berjimat cermat memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi dengan barang boleh dikatakan semua naik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambah Zaharah, kerajaan perlu segera mencari jalan bagi mengurangkan kos sara hidup yang memberi kesan kepada semua orang termasuk peniaga.

“Masa Covid-19 sebelum ini pun, perniagaan tidak seteruk seperti sekarang. Sekarang kadangkala seminggu sahaja yang ada orang, selebihnya sunyi sepi,” katanya.

SELESA

Seorang kakitangan swasta, Sharil Ismail, 36, berkata, dia dan keluarga sudah jarang makan di luar sekarang sebaliknya lebih selesa makan di rumah bagi menjimatkan per­belanjaan.

“Kami perlu menyimpan duit untuk anak-anak sekolah dan perbelanjaan lain yang semuanya sudah semakin meningkat.

“Mungkin dalam sebulan, sekali sahaja saya bawa isteri dan anak-anak keluar makan di luar. Jika sebelum ini, kerap juga kami makan di luar,” katanya.

Sementara itu di Kluang, Johor, peniaga makanan di sini pe­ning apabila perniagaan mereka merudum sehingga 50 peratus susulan kenaikan kos sara hidup yang memberi kesan kepada semua orang.

Rosli Jono, 59, yang berniaga kedai makanan mengakui jumlah pelanggan semakin berkurangan setiap hari sehingga 60 peratus berbanding sebelum berlakunya pendemik Covid-19.

Jika lima tahun lalu, dia mampu memperoleh keuntungan hasil jualan kira-kira RM500 sehari, namun kini untuk mendapatkan untung RM200 bagaikan satu mimpi indah.

“Beberapa pelanggan mengakui mereka amat berkira untuk keluar menjamu selera di kedai makan kerana kos perbelanjaan keluarga meningkat lebih sekali ganda berbanding sebelum ini. Apabila harga barang keperluan harian naik, mereka perlu me­rancang perbelanjaan bagi memastikan pendapatan diperoleh mencukupi hingga akhir bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di kedai makannya di Jalan Kampung Tengah, dekat sini.

Keadaan serupa dihadapi peniaga apabila terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga barang asas, namun dalam masa sama tidak menaikkan harga jualan demi untuk menarik kedata­ngan pelanggan. \

“Berbelanja untuk keperluan jualan juga kini dikurangkan hanya antara dua atau tiga kali seminggu berbanding hampir setiap sebelum ini,’’ katanya.

Pemilik Kedai Makan Anjung Suri di Taman Makmur, Khaironi Patoni, 49, turut mengakui hasil jualannya menyusut sehingga 50 peratus berbanding sebelum pandemik Covid-19.

Namun, katanya, harga jualan terpaksa dikekalkan walaupun kos pengurusan meningkat, khususnya penyediaan barang-barang untuk jualan.

“Sekiranya keadaan ini berlanjutan hingga akhir tahun, banyak kedai makan yang akan gulung tikar kerana tidak mampu menampung kos operasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN