PdPR memang suatu cabaran - Pelajar - Utusan Malaysia

PdPR memang suatu cabaran – Pelajar

PARA pelajar Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2022 gembira sambil menunjukkan keputusan masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Cabaran mengikuti pembelajaran secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika pandemik Covid-19 tidak mematahkan semangat pelajar Sekolah Tun Fatimah (STF) untuk memperoleh keputusan cemerlang 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Menurut Sofea Khadijah Mohd. Hanafi, 18, dan rakannya, Nurzalika Mohd. Latiff akui bukan mudah untuk menguasai mata pelajaran yang diajar bukan secara bersemuka.

Sofea Khadijah berkata, mereka perlu berdisiplin tinggi dan kuat semangat apabila mengikuti PdPR sejak berada di tingkatan tiga kerana bukan mudah untuk memberi tumpuan penuh semasa belajar secara dalam talian.

“Cabaran belajar secara PdPR memerlukan disiplin yang tinggi kerana tiada guru yang memantau, keadaannya jauh berbeza semasa belajar secara bersemuka di dalam kelas dan mudah bertanya soalan dengan guru sekiranya tidak faham sesuatu subjek.

“Oleh itu, usaha itu perlu digandakan untuk menguasai mata pelajaran yang sukar. Saya juga mengambil masa selama tiga jam selepas tamat sesi pembelajaran secara PdPR dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya.

Sofea Khadijah salah seorang daripada 155 calon SPM diraikan pada majlis pengumuman keputusan SPM 2022 di STF yang dihadiri oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Datuk Yahya Jaafar dan Pengetua, Noor Hayati Yusoff. 

Anak kedua daripada empat beradik itu berhasrat menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Malaya (UM) bagi mengejar cita-cita untuk menjadi seorang doktor seperti bapanya.

Sementara itu, Nurzalika turut mengakui berdepan kesukaran yang sama namun kekurangan itu dapat ditangani dengan bantuan guru-guru yang banyak berkongsi nota penting.

Selain itu, katanya, rakan-rakan turut banyak membantunya menguasai subjek yang sukar, sekali gus mampu mendapat keputusan 9A+.

“Setelah berjaya mendapat kejayaan membanggakan ini, saya merasa sangat gembira. Saya berharap ia dapat membantu untuk menyambung pengajian ke Amerika Syarikat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya