Pasar Ka’kiyah lokasi tumpuan pilih cenderamata - Utusan Malaysia

Pasar Ka’kiyah lokasi tumpuan pilih cenderamata

Pasar Ka’kiyah menjadi lokasi jemaah dari pelbagai negara memilih cenderamata untuk dibawa pulang ke tanah air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Pasar Borong Ka’kiyah yang terletak kira-kira 10 kilo­meter dari Masjidilharam semakin ramai dikunjungi ramai jemaah. Mereka mahu memilih pelbagai jenis cenderamata seperti sejadah, tasbih, minyak wangi, kopiah, jubah, abaya dan macam-macam lagi untuk dibawa pulang ke tanah air.

Seorang peniaga dikenali sebagai Mohsen, 40-an, berkata, mereka akan memujuk pelanggan untuk membeli pada awal bulan ini tetapi ketika jemaah semakin ramai memasuki Mekah, dia tidak perlu lagi berbuat demikian.

“Ketika ini kami pula yang ‘jual mahal’. Jika harga yang diberikan tidak boleh memuaskan hati mereka, kami tidak peduli kerana ramai lagi yang akan datang dan beli.

“Berbeza pada awal bulan apabila kami perlu memujuk pelanggan yang enggan beli pada harga diskaun kerana ketika itu pasar tidak ramai dan kami perlu membuat jualan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Seorang pelanggan dari Pattani dikenali sebagai Ahmad, 50-an, berkata, dia tidak melepaskan peluang berkunjung ke Ka’kiyah sebelum tiba hari wukuf untuk mencari cenderamata.

“Saya datang selepas mengetahuinya daripada jemaah lain. Hari ini saya beli sejadah dan beberapa barang lain dan bercadang untuk datang lagi selepas selesai haji,” katanya.

Menurut Ahmad, dia kadang-kadang kasihan kepada peniaga kerana pembeli membuat tawaran tidak masuk akal.

“Ada yang tawar harga 200 Riyal jadi sampai 50 atau 100. Kalau saya jadi peniaga pun saya tak mahu, buat rugi saja. Kalau hendak menawar, biarlah berpada-pada,” katanya sambil tertawa.
Seorang jemaah dari Sabah, Marin Alin, 65, berkata, pasar semakin sesak setiap hari tak kira masa menjelang hari wukuf.

“Saya datang meninjau barang-barang dan harganya. Nampaknya boleh kurang lagi dan buat masa sekarang Riyal saya masih ‘selamat’. Selepas wukuf mungkin akan membeli cenderamata,” katanya.

Apapun, kemeriahan haji semakin dirasai ketika ini apabila hampir tiga juta jemaah sudah mula tiba di Mekah. Mesin pengeluaran wang automatik pula sentiasa panjang barisannya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN