PARLIMEN: Yang Dipertua Dewan Rakyat tolak usul tergempar

PARLIMEN: Yang Dipertua Dewan Rakyat tolak usul tergempar Syed Saddiq tentang projek LCS 

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak usul tergemparnya untuk membahaskan isu ketirisan di dalam projek mega kapal tempur pesisir pantai (LCS). 

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, beliau baru sahaja menerima jawapan daripada surat yang diutusnya kepada Johari bahawa isu itu bukan bersifat kepentingan awam, malah tiada keperluan mendesak untuk membahaskannya. 

Beliau mengutuskan surat tersebut kepada Johari pada 2 Jun lalu. 

“Saya baru dapat jawapan, yang mana usul saya ini ditolak sebab bukan kepentingan orang ramai dan bukan keperluan mendesak. Tertera di sini saya mohon ia dipertimbang semula. 

“Saya tahu mengikut peraturan mesyuarat, keputusan yang dibuat speaker tidak boleh dibangkitkan semula, cuma ada budi bicara dan jika tidak dibenarkan dibahas di sini, boleh dibawa ke kamar khas. 

“Jika hanya luangkan lima minit untuk bahas sebab ini perkara khusus. Dahulu kita dengar kosnya antara RM6 bilion sehingga RM9 bilion, selepas itu tambah lagi RM2.1 bilion. Jika ini bukan perkara mendesak namun kerap pula dibincang sebelum, semasa dan selepas pilihan raya. 

“Tetapi, tiada pendakwaan tambahan, wang sudah dibelanja, tetapi satu kapal pun belum sampai. Sekarang jumlahnya pula dikurangkan. Saya harap tuan speaker boleh pertimbang kerana jelas isu ini mendesak melibatkan isu rakyat dan keselamatan negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz [PN-Tanah Merah] selesai bertanya soalan kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari untuk menyatakan garis waktu LCS 1 dapat dimulakan.

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor menasihati Syed Saddiq bahawa ahli Parlimen tetap terikat dengan peraturan-peraturan majlis mesyuarat Dewan Rakyat. 

Ramli: Apa yang disebut oleh Yang Berhormat Muar boleh dibuat rayuan, tetapi hendaklah mengikut peraturan. Jadi, gunakan. Saya percaya, Yang Berhormat sudah memasuki penggal Parlimen kedua, dan amat arif tentang hal ini. Saya mohon buat rayuan mengikut peraturan sedia ada. 

Syed Saddiq: Terima kasih, rayuan saya akan utuskan. 

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mendedahkan, tiada satu pun LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disiapkan meskipun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) secara rundingan terus.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya