Kemalangan di Jalan Tapah-Cameron Highlands tiada unsur pelanggaran - Utusan Malaysia

Kemalangan di Jalan Tapah-Cameron Highlands tiada unsur pelanggaran

KEADAAN kereta yang jatuh gaung di Batu 21, Jalan Tapah menghala ke Cameron Highlands di Tapah semalam. - GAMBAR IHSAN JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Aruz yang menyebabkan seorang lelaki meninggal dunia di Batu 22, Jalan Tapah-Cameron Highlands, Jalan Pahang di sini semalam tidak membabitkan sebarang unsur pelanggaran dengan kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerusi Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menerima panggilan kecemasan berkaitan kemalangan itu pada pukul 8.44 malam.

“Siasatan awal mendapati, semasa kejadian seorang pemandu lori dalam perjalanan dari Ringlet ke Ipoh untuk menghantar sayur ke pasar. Mangsa bersama isteri dan empat orang anak dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tanah Rata, Cameron Highlands dengan menaiki sebuah kenderaan uitiliti sukan (SUV) Perodua Aruz.

“Mereka dalam perjalanan untuk menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, semasa lori menghampiri selekoh secara tiba-tiba Perodua Aruz yang datang dari arah bertentangan telah terbabas ke sebelah kiri jalan ke arah Cameron Highlands dan terjatuh ke gaung serta memasuki sungai.

“Tiada sebarang perlanggaran melibatkan dua kenderan ini,” katanya di sini.

Katanya, anggota bomba dan orang awam yang berada di lokasi kejadian  membantu mengeluarkan mangsa daripada kereta Perodua Aruz dan dibawa naik ke bahu jalan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa pemandu Perodua Aruz telah maut di tempat kejadian sementara mangsa lain yang cedera telah dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak Polis Daerah Tapah di talian 05-4011222 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tapah, Inspektor Muhammad Faizan Ahmad @ Mohammed Razikin di talian 013-2087 819.

Terdahulu tular klip video rakaman kamera papan pemuka (dashcam) dipercayai dari kenderaan lain mengenai insiden tersebut dalam media sosial.

Klip video tersebut menunjukkan Perodua Aruz dinaiki mangsa telah terbabas semasa melalui jalan berselekoh tajam dan sempit di kawasan berbukit. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN