PARLIMEN: LCS, haji, minyak masak paket bersubsidi antara

PARLIMEN: LCS, haji, minyak masak paket bersubsidi antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini 

minyak masak
AKIBAT penyelewengan minyak masak bersubsidi, negara kerugian kira-kira RM4.2 juta hasil bagi tempoh lima tahun sejak 2018 hingga 31 Mei lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini bakal bertumpu isu kemungkinan kerajaan membenarkan minyak masak paket bersubsidi yang sudah diguna untuk dijual semula sebagai minyak masak terpakai kepada industri bio-diesel. 

Berdasarkan aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat, Azli Yusof [PH-Shah Alam] dijangka mengemukakan soalan itu kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada pukul 10 pagi ini. 

Soalan itu dikemukakan kerana terdapat permintaan tinggi untuk minyak masak terpakai dijadikan sebagai bahan bakar biofuel untuk industri pengangkutan udara.

Beliau juga mahu mengetahui tindakan kementerian untuk memastikan tidak berlaku ketirisan akibat manipulasi dan penggunaan yang berlebihan kerana harga minyak masak terpakai adalah lebih tinggi daripada minyak masak paket bersubsidi. 

Abdul Latiff Abdul Rahman [PN-Kuala Krai] pula akan meminta Perdana Menteri menyatakan kriteria yang digunakan untuk mengklasifikasi golongan berpendapatan rendah (B40), M40 dan T20 dalam menentukan mereka menerima tawaran mengerjakan haji dan jumlah jemaah haji yang menerima tawaran tersebut tahun ini. 

Yeo Bee Yin [PH-Puchong] pula akan meminta Menteri Kesihatan menyatakan status terkini suntikan vaksin papilomavirus manusia (HPV) untuk lebih daripada 500,0000 kanak-kanak perempuan yang terlepas suntikan dari tahun 2020 hingga 2022 serta perolehan vaksin HPV yang telah diperuntukkan RM120 juta untuk 2023. 

Bagi sesi pertanyaan-pertanyaan lisan, Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli [BN-Jempol] meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan bagaimana keputusan kementerian menamatkan monopoli Digital Nasional Bhd. (DNB) dalam penyediaan rangkaian 5G dengan membenarkan model dwirangkaian 5G melalui entiti baharu dapat memberi manfaat kepada rakyat sebagai pengguna. 

Sementara itu, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz [PN-Tanah Merah] meminta Menteri Pertahanan menyatakan garis waktu projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) 1 dapat dimulakan. 

Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy [BN-Kalabakan] pula meminta Perdana Menteri menyatakan jika kerajaan mempertimbang menubuhkan semula agensi-agensi kerajaan yang ditutup sebelum ini memandangkan ia berperanan penting dalam melancarkan perkhidmatan awam dan berupaya mengurangkan masalah pengangguran terutama dalam kalangan graduan. 

Bagi aturan mesyuarat dan usul-usul pula, Dewan Rakyat akan menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Pindaan) 2023. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN