PARLIMEN: Ahli Parlimen PH kecam MB Kedah keluarkan

PARLIMEN: Ahli Parlimen PH kecam MB Kedah keluarkan kenyataan lucah, perkauman 

Syerleena Abdul Rashid ketika mengadakan sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) hari ini tampil mengecam tindakan Muhammad Sanusi Md. Nor yang dilihat terus mencetus kontroversi ketika perwatakannya itu dilihat tidak sepadan sebagai seorang Menteri Besar Kedah. 

Selepas mengeluarkan dakwaan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah, Muhammad Sanusi pula dilaporkan mengeluarkan kenyataan lucah, berbaur perkauman dan agama dalam satu ceramah di Pulau Pinang, baru-baru ini. 

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, beliau membuat laporan polis dan menggesa siasatan lanjut dijalankan terhadap Muhammad Sanusi.  

“Beliau keluarkan kata-kata kesat, merujuk kepada alat kelamin lelaki dan perkara ini amat jijik. Sebagai pemimpin, tidak boleh buat perkara macam ini,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Tular dalam media sosial mengenai klip video memaparkan ucapan Muhammad Sanusi didakwa menyebut perkataan lucah dalam bahasa Hokkien, yang merujuk kepada alat sulit lelaki. 

Ucapannya itu dilihat disambut dengan gelak tawa riuh rendah dari peserta perhimpunan. 

Klip video itu turut menunjukkan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Naib Presiden Pas merangkap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. 

Sanusi didakwa menggunakan perkataan itu apabila bercakap mengenai bagaimana orang bukan Islam tidak akan menjadi mangsa, sekiranya Pas mengambil alih Pulau Pinang.

“Jadi, nak takut apa dengan Pas? Pergi tengok di Kedah mana ada satu Cina kita suruh potong lan***,” katanya memetik klip video berkenaan. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, Muhammad Sanusi sengaja memainkan sentimen perkauman untuk menang dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi. 

“Beliau didakwa memaksa orang bukan Islam supaya peluk Islam. Saya tegaskan di sini, bagi DAP, mana-mana pemimpin dan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah seorang pun yang mendakwa Pas di Kedah memaksa orang bukan Islam peluk Islam. 

“Mengapa mahu lagakan antara satu kaum dengan kaum lain? Seperti dinyatakan Pas, pemimpin Islam punca rasuah, jangan cuba kaitkan rasuah dengan bangsa,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari berkata, kata-kata Muhammad Sanusi langsung tidak membina dan memberi implikasi buruk termasuklah menyentuh soal kedaulatan negeri.   

“Sebagai pemimpin yang mewakili nama baik Kedah, Sultan Kedah, sepatutnya beliau menunjukkan imej baik dan tidak boleh bercakap walaupun atas pentas politik beliau tidak boleh bercakap dengan tidak beradab dan berilmu. 

“Ambillah nasihat dari saya yang muda ini, sebagai pemimpin paling berpengalaman, sepatutnya tunjukkan kelakukan yang boleh dicontohi dan boleh saya ikuti. 

“Kehangatan pilihan raya negeri akan datang tidak akan menjejaskan kesatuan dan keharmonian masyarakat Kedah, Pulau Pinang dan seluruh negara. Jangan sebab politik kita tunggang ekstrimisme. Menang pilihan raya kita gadaikan kedaulatan dan keharmonian masyarakat,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya