GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan menggunakan helikopter membawa seorang lelaki Orang Asli yang lumpuh sebelah badan kirinya sejak tiga hari lalu ke Hospital Gua Musang di sini, semalam.
Biyor Angah, 55, yang berada dalam keadaan lemah terpaksa diusung sebelum dibawa menaiki helikopter sambil diiringi anaknya, Lelnit Biyor, 22,
Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata, pihaknya berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor pada pukul 10.45 pagi.
“Setibanya di Kampung Dakoh, Pos Balar pesakit diusung ke helikopter dengan bantuan orang Kampung. Pesawat tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada pukul 12.18 tengah hari dan pesakit dibawa ke hospital dengan menggunakan ambulans yang sudah menanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohd. Hasrizal memberitahu, operasi membabitkan lapan anggota itu diketuai oleh juruterbang Amir Fitri Salim dan pembantu juruterbang, Ahmad Hafiz Sulaiman.
Katanya, selamat mendarat di Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor pada pukul 5.20 petang.-UTUSAN










