Nik Abduh dipinggirkan sekali lagi?

Nik Abduh dipinggirkan sekali lagi?

NIK Abduh Nik Abdul Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mendedahkan tidak menerima ‘lamaran’ daripada Pas atau mana-mana parti politik untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, anak bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata, tiada ke­perluan untuk beliau bertan­ding pada PRN nanti berikutan wakil-wakil rakyat yang ada pada ketika ini sudah menunjukkan prestasi baik sepanjang diberi mandat.

“Tidak ada tawaran atau dirisik untuk jadi calon pada PRN nanti dan rasanya tiada keperluan untuk saya bertanding.

“Melihat perkembangan semasa, saya yakin wakil rakyat Pas dan Perikatan Nasional (PN) yang ada sekarang ini telah memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat Kelantan,” katanya kepada ketika ditemui di Masjid Tok Guru di Pulau Melaka, di sini semalam.

Nik Abduh memberitahu, kesemua ahli Pas telah dimaklumkan sejak peringkat awal bahawa akan ada perubahan pada PRN nanti dan ia diterima dengan hati terbuka.

Ditanya jika terdapat kemungkinan namanya akan naik sebagai calon Pas dan PN untuk bertanding pada PRN nanti, beliau menyerahkan segala keputusan kepada pimpinan parti.

“Benda belum berlaku dan bagi saya sendiri, tiada keperluan untuk bertanding serta tiada apa-apa untuk diperkatakan. Kita serah semuanya kepada pucuk pimpinan.

“Berkenaan perubahan-perubahan pada PRN nanti, macam biasalah setiap penggal akan ada perubahan yang dilihat penting oleh parti dan kami terima keputusan pucuk pimpinan dengan hati terbuka,” jelasnya.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, anak bekas Mursyidul Am PAS, Allah­yarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu antara nama besar pemimpin parti yang tidak dicalonkan semula untuk bertanding.

Tempat beliau digantikan oleh Muhamad Shahir Che Sulaiman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×