Nazrulerwan harap pemain import segera diganti

Nazrulerwan harap pemain import segera diganti

NAZRULERWAN Makmor semasa sidang media selepas tamat perlawanan Kelantan United menentang Selangor FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan malam tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARULZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pengendali sementara Kelantan United Nazrulerwan Makmor mahu barisan pemain import pasukan itu segera diganti pada jendela perpindahan kedua pemain Julai ini selepas dianggap tidak membantu skuad Kijang Hijau susulan kekalahan memalukan 1-7 ditangan Selangor FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Nazrulerwan berkata, beliau berharap pihak pengurusan pasukan dapat bertindak segera untuk menggantikan pemain-pemain import dengan pemain yang lebih berkualiti terutama di barisan tengah dan serangan.

“Saya percaya kita belum ketinggalan dan masih mampu mencapai kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super musim ini tetapi kalau tidak tukar pemain import, kita tidak akan ke mana.

“Selepas dua gol awal oleh Selangor, pemain-pemain saya hilang punca serta gagal mengikut arahan dan saya ulangi sekali lagi, pemain-pemain import pula tidak memberikan komitmen terbaik pada perlawanan malam ini,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Nazrulerwan memberitahu, kehadiran ketua jurulatih baharu, Ailton Silva juga tidak akan mampu merubah keadaan sekiranya barisan pemain menunjukkan prestasi di bawah keupayaan sebenar seperti pada perlawanan malam tadi.

Katanya, dia berharap Ailton Silva dapat berada di bangku simpanan secepat mungkin untuk memudahkan interaksi semasa perlawanan.

“Keadaan sekarang ini agak menyukarkan untuk kami berbincang mengenai pertukaran pemain dan taktikal pasukan.

“Pasukan sedang mencari pemain-pemain import baharu dan sehingga kini sudah ada lima hingga enam nama dalam perancangan tetapi saya belum boleh mendedahkannya kerana masih dalam perbincangan,” ujarnya.

Bekas pemain Selangor itu menyifatkan kekalahan itu antara keputusan paling buruk pernah dicatatkan sepanjang kariernya dalam arena bola sepak tempatan.

“Saya terkejut! selama menjadi pemain bola sepak saya tidak pernah melepaskan jumlah jaringan besar dan sepanjang karier kejurulatihan, ini kali pertama saya terima keputusan seteruk ini. Dibolosi sehingga tujuh gol terlampau besar bagi saya.

“Secara jujurnya saya merasakan pemain-pemain asing tidak membantu pasukan saya pada perlawanan malam ini. Kita boleh nampak mereka bagaikan tiada fungsi dalam padang,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.