KOTA BHARU: Pas menegaskan kewajipan mengundi untuk mempertahankan Islam adalah perjuangan jihad yang boleh dianggap sebagai fardu ain dan bukan lagi fardu kifayah.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perjuangan bersungguh-sungguh mempertahankan Islam tidak semestinya melalui peperangan.
“Islam mendahulukan perdamaian dan salah satu jalan memperjuangkan agama adalah melalui proses demokrasi termasuk pilihan raya.
“Jihad akan menjadi fardu ain sekiranya Islam terancam. Oleh itu mengundi untuk mempertahankan kerajaan Islam menjadi fardu ain,” katanya pada Himpunan Ppakat Pertahan dan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Kelantan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Ahli Parlimen Marang itu memberitahu, beliau dimaklumkan bahawa pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, hanya 60 hingga 70 peratus pengundi Melayu keluar mengundi berbanding bilangan pengundi Cina yang mencecah 94 peratus.
“Jangan main-main, jangan tangguh-tangguh dan jangan tidak keluar mengundi kerana ia tanggungjawab yang sangat besar. Kalau peratus kita keluar mengundi kecil, kemudian berpecah pula… bahaya bagi kita.
“Kelemahan orang Melayu adakan sikap ambil mudah terhadap kewajipan mengundi sedangkan pada hakikatnya mereka perlu sedar bahawa keengganan mereka keluar mengundi boleh menjatuhkan sebuah kerajan Islam akibat kehilangan kuasa politik,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN menyeru ahli-ahli serta penyokong Pas agar memujuk ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi untuk beramai-ramai memberi sokongan serta undi kepada PN pada Pilihan Raya Negeri (PN) nanti.
“Pada Ogos ini, kita mesti pertahan Kelantan, menang di Terengganu dan Kedah, tawan Selangor dan Negeri Sembilan serta ambil alih Pulau Pinang untuk meneruskan perjuangan menegakkan pemerintahan Islam dan membuat perubahan di negara ini,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan pihaknya tidak ambil kisah sikap bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang terus bermain tarik tali untuk menyertai parti itu.
“Beliau nak bermain tarik tali kita tak apa kerana pada saya bila presiden kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin cakap sekali sahaja… kemudian cukup. Sama ada beliau (Khairy Jamaluddin) terima tawaran kita atau tidak… terpulang kepada dia,” katanya.-UTUSAN