BANGKOK: Penantian panjang selama 44 tahun Malaysia untuk meraih pingat emas dalam acara judo akhirnya terlerai menerusi kejayaan Amir Daniel Abdul Majeed pada Sukan SEA Thailand 2025, kelmarin
Dalam aksi final di Universiti Rajamangala, Amir Daniel mempersembahkan aksi cukup bertenaga dalam kategori lelaki bawah 81 kilogram (kg) untuk menumbangkan pencabar dari Filipina, John Viron Ferrer.
Amir mengakui kemenangan tersebut amat bermakna buatnya dan mendedikasikan pingat emas tersebut khas buat Allahyarham bapanya yang meninggal dunia secara mengejut ketika dia sedang menjalani latihan di luar negara.
“Saya buat semua ini untuk arwah ayah. Dia meninggal dunia secara mengejut sewaktu saya bersiap sedia untuk pulang ke tanah air selepas selesai menjalani latihan di Mongolia.
“Ketika dalam gelanggang, saya tidak fikir apa-apa selain mahu lakukan yang terbaik. Saya bawa semangat arwah ayah dalam perlawanan ini,” katanya.
Jelas Amir, dia berbangga menjadi atlet yang memecahkan dominasi tersebut sekali gus melengkapkan koleksi pingat peribadinya selepas sekadar meraih gangsa pada edisi Vietnam dan Kemboja sebelum ini.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Amir mengakui dia ada yakin mampu mencipta sejarah kerana dia pernah menewaskan lawannya itu tahun ini.
“Saya pernah tewaskan lawan saya sebelum ini di Indonesia, jadi saya hanya memberikan terbaik. Saya bangga dapat menjadi atlet pertama pecah dominasi dan meraih pingat emas ini,” katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan, Othman Mohd Nizam Yeo menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil pengorbanan besar atlet yang sanggup berjauhan demi negara.
“Sudah 44 tahun kita menunggu pingat emas ini. Lebih empat dekad kita menanti untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu emas. Persiapan kita tidak terhenti di Sukan SEA Kemboja.
“Pasukan menjalani latihan intensif selama sebulan di Mongolia pada November lalu. Namun, kejadian tidak diingini berlaku apabila bapa Amir meninggal dunia tiga hari sebelum kami pulang ke tanah air pada bulan Disember.
“Saya pesan kepada dia, buatlah untuk arwah ayah kerana itulah yang ayah dia inginkan, melihat dia berjaya,” katanya. – UTUSAN










