Kek lapis ELZHA perkukuh kedudukan dalam industri

Kek lapis ELZHA perkukuh kedudukan dalam industri

PRODUK utama ELZHA ialah kek lapis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama bakeri tempatan, ELZHA di bawah Mantera Armada Sdn. Bhd., terus mengukuhkan kedudukan dalam industri apabila memperoleh pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2024, sekali gus melonjakkan jenama itu ke fasa perkembangan lebih agresif pada 2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zharif Mohammad Khalid berkata, syarikat itu bermula dari rumah pada 2015 sebagai EZ Elyzhaf Enterprise sebelum beroperasi secara lebih tersusun sebagai Mantera Armada pada 2020. 

Katanya, tahun ini menandakan satu dekad perjalanan ELZHA dalam industri bakeri dan proses mendapatkan sijil halal bermula dengan penguasaan ilmu dan tunjuk ajar daripada pakar bagi memastikan setiap langkah pengeluaran mematuhi piawaian ditetapkan. 

“Syarikat telah memperoleh pensijilan halal untuk produk serta kontrak perkilangan pada 2024 yang sah untuk tempoh dua tahun.

“Bagi syarikat, halal bukan sekadar logo. Ia menjamin kualiti, kebersihan dan keselamatan makanan selain membina keyakinan pengguna. Pensijilan ini juga membuka jalan ke pasaran lebih luas, termasuk luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Seiring pensijilan halal, ELZHA mencatat peningkatan permintaan dan berjaya menembusi rangkaian pasar raya utama seperti AEON dan AEON BiG. 

Keyakinan rakan niaga terhadap kontrak perkilangan halal turut membuka lebih banyak peluang pengilang pengeluar peralatan asal (OEM). 

Tambahnya, produk utama ELZHA ialah kek lapis, dengan rangkaian hampir 20 hingga 30 jenis. 

“Antara perisa paling mendapat sambutan ialah pandan gula melaka, masam manis dan coklat keju.

“Selain itu, syarikat turut menghasilkan pelbagai produk lain termasuk creamy slice cake, kek cawan dan kek tapak kuda, menjadikan kami antara pengeluar bakeri tempatan yang menawarkan pilihan produk luas untuk pasaran runcit dan borong,” tambahnya. 

Memasuki 2025, kapasiti pengeluaran ELZHA melonjak kepada 10,000 loaf sehari, menjadikannya antara pengeluar terbesar dalam kategori tersebut di Malaysia. 

Pertumbuhan itu memerlukan syarikat berpindah ke kilang lebih besar dan selaras dengan itu, sijil halal turut perlu dipinda kerana perubahan lokasi memerlukan penilaian semula.

Mengulas lanjut, Ahmad Zharif berkata, antara cabaran utama dalam mendapatkan dan mengekalkan halal ialah memastikan bekalan bahan mentah halal yang konsisten, mengurus kos serta masa dokumentasi dan melatih pekerja supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) halal tanpa kompromi.

“Apabila syarikat berkembang, cabarannya juga bertambah. Tetapi matlamat kami jelas, iaitu membawa nama ELZHA ke peringkat antarabangsa sebagai produk bakeri halal berkualiti,” ujarnya.

Menurutnya, pensijilan halal menjadi asas penting dalam struktur operasi syarikat kerana ia membantu mewujudkan proses kerja yang lebih teratur dan mengurangkan risiko ketidakkonsistenan kualiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN