PETALING JAYA: Pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diperoleh sejak 2021 membantu Akmal Food Global Sdn. Bhd. (Akmal Food) menarik minat pasar raya besar tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairiah Abdul Kadir berkata, dengan adanya status halal itu, Akmal Food telah menerima permintaan beberapa pasar raya besar seperti Mydin dan Aeon untuk meletakkan produk di rangkaian mereka dan dijangka akan memasuki pasar raya tersebut pada tahun hadapan.
“Pasar raya Aeon juga menunjukkan minat, tetapi buat masa ini, kapasiti pengeluaran kami masih belum mengizinkan kerana lebih menumpukan kepada pengedaran melalui sistem agen dan stokis.
“Sebelum ini, kami belum memasuki pasar raya, tetapi kini produk kami sudah mula dijual di beberapa pasar raya seperti ST Rosyam Mart dan kedai, termasuk di beberapa stesen minyak seperti Petronas, hasil pengedaran melalui agen
“Agen dan stokis inilah yang bertanggungjawab menghantar produk ke kedai-kedai halal mart,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, sijil halal adalah sangat penting bagi memastikan pelanggan yakin dengan produk yang dikeluarkan.
“Sebagai contoh, seorang rakan perniagaan di Johor yang mengurus kiosk kebab hanya menggunakan produk kami kerana mempunyai sijil halal yang sah.
“Ini membuktikan setiap proses penghasilan kami mematuhi piawaian kebersihan serta keselamatan makanan yang ditetapkan, sekali gus meyakinkan pemborong dan pengguna akhir.
“Selain memberi jaminan kepada pengguna Islam, pensijilan halal kini turut diiktiraf oleh pelanggan bukan Islam sebagai tanda kualiti dan ketelusan dalam rantaian pengeluaran makanan,” ujarnya.
Antara produk utama syarikat itu adalah sate kebab, mini burger, bebola daging dan ayam serta BodyBlast X atau burger diet sihat untuk mereka yang bersenam, berasaskan dari ayam dada dan daging lembu.
Sementara itu, cara pemasaran produk syarikat memasuki fasa baharu melalui platform atas talian seperti TikTok, sekali gus melonjakkan jualan syarikat sebanyak 100 peratus.
Akmal Food Global turut menjadi rujukan bagi segelintir usahawan produk sejuk beku berkenaan kaedah penghantaran melalui platform TikTok.
Mengulas lanjut, Khairiah berkata, Akmal Food kini membuka peluang lawatan kilang kepada orang ramai sebagai usaha meningkatkan kefahaman terhadap operasi serta proses pengeluaran produk syarikat itu.
“Kami bersedia menerima kunjungan berkumpulan termasuk rombongan besar menaiki satu atau dua bas. Baru-baru ini, kami menerima kehadiran kira-kira 100 pengunjung yang datang dengan dua buah bas ke kilang kami di IKS Kuala Selangor.
“Inisiatif ini diharap mampu memperkukuh hubungan dengan pengguna selain memberi pendedahan mengenai standard pengeluaran dan kawalan kualiti yang diamalkan syarikat,” jelasnya. – UTUSAN









