Mada rintis tanaman padi lima musim

Mada rintis tanaman padi lima musim

MOHAMAD Sabu (dua tiga dari kanan) beramah mesra dengan salah seorang peniaga semasa mengadakan lawatan dan tinjauan  di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMRULZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) akan menjadi perintis kepada usaha kerajaan memperkenalkan tanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Mohamad Sabu berkata, bagi memastikan hasrat itu tercapai kerajaan akan menaik taraf sistem saliran bagi memastikan bekalan air dapat dibekalkan ke sawah sepanjang masa.

Menurutnya, penggunaan teknologi baru dan benih-benih padi menggunakan varieti baharu yang telah diuji di pelbagai tempat.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah mengumumkan perkara ini dan jika jangka akhir tahun projek itu bermula.

“Untuk permulaan, kita sasarkan 30,000 daripada 100,000 hektar kawasan tanaman padi di kawasan Mada,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini hari ini.

Mohamad memberitahu, sekiranya teknologi baharu digunakan beliau yakin pengeluaran hasil padi negara akan meningkat sekali gus mampu menampung keperluan rakyat.

Katanya, pada masa sama kerajaan turut menggalakan petani mengusahakan padi dalam skala yang lebih besar dengan menjadikan Sekinchan, Selangor menjadi contoh dan ikutan.

“Hal ini kerana hasil padi yang paling tinggi di Malaysia adalah di Sekinchan. Mereka dapat antara tujuh hingga 12 tan hasil untuk satu hektar. Kalau musim merosot mereka masih mampu memperoleh tujuh tan hasil,” ujarnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, kerajaan sedang menilai kaedah pelaksanaan untuk meningkatkan produktiviti penanaman padi melalui kaedah penanaman lima musim dalam tempoh dua tahun.

Anwar berkata, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) yang bersidang buat kali pertama semalam mengetengahkan hasrat mengambil pendekatan berpaksikan kesinambungan bekalan makanan negara agar kekal terjamin.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN