Lima murid cedera, van sekolah dinaiki terlibat kemalangan - Utusan Malaysia

Lima murid cedera, van sekolah dinaiki terlibat kemalangan

KEADAAN kemalangan membabitkan sebuah van sekolah dinaiki 10 orang murid dan sebuah motosikal dalam kejadian di simpang tiga Jalan Nusari Bayu 1, Sendayan Seremban pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai lima orang pelajar Sekolah Kebangsaan Jimah Baru cedera terkena serpihan kaca setelah van sekolah dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di simpang tiga Jalan Nusari Bayu 1, Sendayan di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, siasatan awal mendapati kemalangan lebih kurang pukul 7.25 pagi itu berlaku ketika sebuah van sekolah jenis Ford dipandu oleh seorang lelaki berusia 65 tahun bersama 10 orang penumpang pelajar sekolah terbabit.

“Van sekolah itu sedang bergerak dari arah Taman Nusari Aman 1 menuju ke arah Taman Nusari Bayu 2.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, van sekolah telah membelok ke kanan simpang kemudian datang sebuah motosikal jenis Modenas Pulsar yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 17 tahun dari arah bertentangan sedang bergerak terus tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian kiri van terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arifai berkata, akibat kemalangan lima pelajar yang merupakan penumpang van sekolah masing-masing berusia enam hingga 12 tahun mengalami kecederaan luka-luka kecil akibat terkena serpihan kaca.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan patah di bahagian tangan kanan dan luka-luka di bahagian kaki.

“Bagaimanapun, pemandu van sekolah dan lima lagi pelajar tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya lagi.

Jelas Arifai, kesemua mangsa terlibat telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan dan lima pelajar itu dirawat sebagai pesakit luar.

Arifai berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya