Lepasan universiti pun sukar dapat kerja punca tak sambung belajar

Lepasan universiti pun sukar dapat kerja punca tak sambung belajar

SHAFRIZA NISHA BASAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Anggapan sukar mendapat kerja selepas habis belajar di universiti menjadi antara faktor ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk terus bekerja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekatronik, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Shafriza Nisha Basah berkata, ketika ini, banyak pekerjaan baharu ditawarkan melalui platform gig seperti perkhidmatan e-hailing, penghantar makanan, pengedit video, penterjemah bahasa melalui pelbagai aplikasi dalam talian dan kerja-kerja sambilan lain.

Katanya, situasi tersebut membolehkan lepasan SPM te­rus bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri dengan ti­dak perlu menunggu sehingga tamat pengajian jika meneruskan pelajaran.

MENCABAR

“Proses pencarian pekerjaan selepas belajar dianggap mencabar dengan banyak faktor yang perlu dipertimbangkan seperti jenis pekerjaan yang ditawarkan, pendapatan, faktor lokasi tempat kerja, pengangkutan, prospek kerjaya dan lain-lain juga diambil kira. Pekerjaan yang ditawarkan menerusi platform gig juga didapati memberikan lebih fleksibiliti,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, dianggarkan le­bih 458,000 lepasan SPM tidak menyambung pengajian ke pe­ringkat lebih tinggi dalam tempoh tiga tahun sejak 2020 sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan belia negara ini.

Statistik menunjukkan 35.16 peratus atau 115,939 orang lepasan SPM 2020 dan 48.74 peratus atau 180,680 lepasan peperiksaan 2021 itu tidak me­lanjutkan pelajaran.

Jika keadaan tersebut berte­rusan, dijangkakan sekitar 40 peratus atau kira-kira 116,454 orang daripada keseluruhan 403,637 calon SPM 2022 yang keputusannya bakal diumumkan pada 8 Jun ini, turut akan mengambil langkah serupa.

Mengulas lanjut, Shafriza Nisha berkata, trend lepasan SPM tidak menyambung pelajaran dikhuatiri membawa kesan yang negatif khususnya membabitkan keperluan kepakaran teknikal pada masa depan.

Katanya, negara memerlukan bilangan kepakaran teknikal yang ramai bagi membantu negara ke arah Revolusi Industri 4.0.

“Contohnya, baru baru ini, kerajaan Malaysia dan World Economic Forum (WEF) me­nubuhkan sebuah Pusat Revolusi Industri 4.0 (C4IR) yang memberi tumpuan kepada ekonomi digital, peralihan tenaga dan transformasi digital.

“Jadi, kepakaran yang tinggi adalah salah satu strategi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi seterus­nya merealisasikan hasrat negara ke arah sasaran menjadi negara 20 teratas dalam Indeks Inovasi Global,” katanya.

Katanya lagi, jika trend itu berterusan pada tahun-tahun mendatang, langkah yang pragmatik wajar diambil, antaranya lepasan SPM yang telah bekerja dinasihatkan meneruskan pe­ngajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Terdapat banyak bidang bidang TVET yang ditawarkan kerajaan, institusi-institusi awam dan swasta yang dilaksa­nakan secara modular dan singkat dengan kerjasama industri yang erat. Ini membolehkan pelajar meningkatkan kemahiran.

“Latihan ini juga boleh dilaksanakan pelajar tanpa mereka meninggalkan kerjaya gig mereka. Selain itu juga, penambahbaikan sistem dan ekosistem TVET negara juga adalah salah satu dari 11 agenda utama Menteri Pengajian Tinggi dalam ucapan perutusan tahun 2023,’’ kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN