Kota Lukut diberi nafas baharu, maksimumkan potensi pelancongan - Utusan Malaysia

Kota Lukut diberi nafas baharu, maksimumkan potensi pelancongan

PESERTA-peserta Program Kembara Madani 2023 Negeri Sembilan termasuk Aminuddin (tengah) bergambar bersama di Muzium dan Kota Lukut di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Jabatan Muzium Malaysia (JMM) akan melakukan perubahan dan penambahbaikan ke atas lokasi bersejarah, Kota Lukut di sini dalam usaha memaksimumkan potensi pelancongannya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, pembangunan di sebahagian tapak Kota Lukut itu akan melibatkan kos awal sebanyak RM5.9 juta termasuk kos penyelidikan.

“Cadangan Jabatan Muzium Malaysia adalah untuk memberi perubahan drastik kepada tapak warisan ini antaranya daripada sudut maklumat mengenai sejarah kota lama ini, lebih banyak papan maklumat yang lebih kemas termasuk menggunakan teknologi maklumat akan diletakkan.

“Potensi sejarah Kota Lukut ini masih belum dimaksimumkan, dahulunya tapak warisan ini merupakan pusat pentadbiran yang lengkap.

“Kami rasakan pada masa sekarang pengunjung tidak dapat merasai sejarah unik itu, oleh itu ia perlu dibangunkan secara maksimum bagi memastikan masyarakat dapat mengenali Kota Lukut ini dengan lebih baik” katanya kepada pemberita selepas menyertai Program Kembara Madani 2023 Negeri Sembilan di Muzium dan Kota Lukut di sini hari ini. 

Yang hadir sama pada program berkenaan ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. 

KAMARUL Baharin A. Kasim ketika ditemui pada Program Kembara Madani 2023 Negeri Sembilan di Muzium dan Kota Lukut di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.

Sementara itu, Kamarul Baharin berkata, pihaknya menyasarkan untuk meningkatkan purata kehadiran pengunjung ke Muzium dan Kota Lukut sehingga 100,000 orang setahun.

Setakat ini, purata anggaran kehadiran pelancong di Kota Lukut adalah sebanyak  40,000 pengunjung dan pihak Jabatan Muzium mensasarkan untuk meningkatkan sebanyak 100,000 setahun. 

“Sehubungan itu hari ini, pihak kami telah mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan Negeri Sembilan untuk bersama-bersama membangunkan kawasan ini secara bersepadu.

“Sebahagian tanah adalah dibawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan manakala di atas iaitu di kawasan Kota Lukut adalah di bawah bidang kuasa negeri.

“Satu penyelarasan kerjasama untuk membangunkan tapak ini secara bersepadu telah dibuat dan kami menerima cadangan Menteri Besar supaya menambah baik maklumat agar membolehkan naratif cerita yang boleh difahami oleh pengunjung mengenai Kota Lukut ini,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin memberitahu, kerajaan negeri amat positif bagi membolehkan kawasan Kota Lukut diperkenalkan semula kepada orang ramai terutama kepada golongan muda. 

“Sejarah amat penting dan semoga usaha ini membangunkan semula kawasan Kota Lukut ini berterusan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya