Keputusan rayuan lepas bebas bekas Timbalan Pengarah DBKL 25

Keputusan rayuan lepas bebas bekas Timbalan Pengarah DBKL 25 Julai ini

SABUDIN Mohd. Salleh dilepas dan dibebaskan buat kali kedua oleh Mahkamah Sesyen di sini, daripada dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja di sini baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rayuan pendakwaan berhubung pembebasan bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd. Salleh terhadap dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja empat tahun lalu akan diputuskan 25 Julai ini.

Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak terlibat.

Pada 15 September 2022, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Sabudin, 61, daripada dua pertuduhan rasuah itu di akhir kes pembelaan.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Sabudin yang dinamakan selaku responden dalam rayuan terbabit diwakili peguam bela, K. Theivaendran.

Terdahulu, Wan Shaharuddin ketika berhujah menyatakan, hakim bicara terkeliru dengan pertuduhan-pertuduhan dihadapi responden dan turut menyalahkan pihak pendakwaan kerana gagal menunjukkan adanya keperluan Sabudin meminta rasuah daripada saksi utama pendakwaan, Wong May Kuan yang merupakan subkontraktor kepada Dusari Niaga.

“Hakim bicara melakukan ‘gross error’ dan ‘misdirection’ apabila gagal mempertimbangkan keterangan-keterangan yang tidak memihak kepada responden apabila memutuskan responden memberikan keterangan yang jujur.

“Mohon rayuan pendakwaan dibenarkan dan perintah hakim bicara membebaskan responden (Sabudin) diketepikan serta responden disabitkan dengan kedua-dua pertuduhan itu,” katanya.

Sementara itu, Theivaendran pula berhujah, hakim bicara membuat dapatan yang betul ketika membebaskan anak guamnya berdasarkan keterangan saksi.

“Oleh itu, kami mohon rayuan pihak pendakwaan ditolak,” kata peguam itu.

Pada 18 Disember 2020, Mahkamah Sesyen membebaskan Sabudin daripada pertuduhan tersebut di akhir kes pendakwaan, bagaimanapun pada 24 Mac 2022, Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan Sabudin untuk membela diri atas pertuduhan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Sabudin yang ketika itu Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL didakwa memperoleh suapan iaitu wang tunai berjumlah RM200,000 daripada subkontraktor, Wong May Kuan yang melaksanakan Cadangan Kerja-kerja Pengisaran dan Penurapan Semula Jalan bagi Bekas Lubang Gali Syarikat Utiliti Di Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Bagi Tahun 2018/2020 (2017/A214)”.

Wang tersebut adalah sebagai upah mengeluarkan permit kerja kepada Dusari Niaga.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam kedai serbaneka di sebuah stesen minyak, Jalan Lingkaran Tengah 2, Bukit Antarabangsa di sini dan di hadapan kediamannya di Ukay Perdana, Ampang, masing-masing pada 9 Jun 2018 dan 17 Januari 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 (Akta 694)  yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya