Juruukur maut nahas baru terima APC minggu lalu - Utusan Malaysia

Juruukur maut nahas baru terima APC minggu lalu

GAMBAR Allahyarham Muhamad Hasnul (tengah) menerima APC pada minggu lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Seorang juruukur dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) Negeri Sembilan Barat, Muhamad Hasnul Ramli, 48, yang maut dalam nahas di Bukit Tangga, di sini, semalam baharu sahaja menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada minggu lalu setelah 20 tahun berkhidmat dengan jabatan berkenaan.

Menurut rakan sekerjanya, Muhamad Fariz Absl Kamarul Azman, 42, ketika kejadian, arwah Muhammad Hasnul dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sikamat, Seremban selepas habis bekerja hari pertama mengukur tanah hak milik di Kampung Jeram Lesung, Chennah di sini.

“Arwah sudah lama bekerja di sini dan pada minggu lalu, dia menerima APC buat kali pertama selepas 20 tahun berkhidmat. Arwah sangat gembira menerima anugerah tersebut.

“Sepanjang bertugas dia tidak pernah berkira walaupun ditugaskan di tempat yang jauh serta pedalaman seperti semalam. 

“Jika diikutkan, mereka bergerak keluar dari kawasan bertugas berhampiran perkampungan orang asli secara berkumpulan pada pukul 5.30 petang dengan ada yang menaiki kereta dan ada juga menunggang motosikal termasuk arwah,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Juruukur Daerah Negeri Sembilan Barat berkata demikian ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Jelebu di sini.

Dalam kemalangan dua buah kenderaan di Kilometer 19, Jalan Seremban-Simpang Pertang, dekat Bukit Tangga, di sini kira-kira pukul 7.30 malam itu, Allahyarham Muhammad Hasnul disahkan meninggal dunia di Hospital Jelebu ketika menerima rawatan.

Turut meninggal dunia di hospital yang sama ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang merupakan penumpang sebuah lagi kenderaan terlibata nahas iaitu kereta jenis Perodua Viva.

KEADAAN kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 19, Jalan Seremban-Simpang Pertang, dekat Bukit Tangga, Jelebu malam semalam.

Bapa kanak-kanak yang maut berkenaan, Koperal Mohd Hariz Shakirin Mohd Yusof, 33, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari membeli barangan di Seremban bersama isteri dan dua anak lelakinya berusia enam serta tiga tahun.

Menurutnya yang bertugas di Cawangan Gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Jelebu, kejadian berlaku begitu pantas dan selepas keretanya terbabit nahas, dia sempat mengeluarkan anak bongsunya itu dari dalam kenderaan dengan bantuan orang awam.

“Masa keluarkan anak itu saya sudah pun merasa sakit dan rupanya mengalami kecederaan patah di bahagian bahu,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seperi kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki sebuah keluarga dari arah Seremban ke Kuala Klawang telah hilang kawalan lalu memasuki ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan penunggang motosikal yang datang dari arah Kuala Klawang menghala ke Seremban. 

“Akibat daripada kemalangan tersebut salah seorang penumpang kereta iaitu kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan penunggang motosikal seorang lelaki berusia 48 tahun telah meninggal dunia semasa menerima rawatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya