‘Jika lihat keadaan runtuhan, mangsa mungkin tidak selamat’

‘Jika lihat keadaan runtuhan, mangsa mungkin tidak selamat’

KEADAAN Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) selepas kejadian runtuhan struktur bumbung yang mencederakan lima kakitangan institut, Rabu lalu. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Jika lihat keadaan runtuhan, mangsa terlibat mungkin tidak selamat tetapi ini semua kuasa Allah. Alhamdulilah tiada kemalangan jiwa dilaporkan.”

Demikian kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berhubung kejadian runtuhan bumbung di dewan institut itu di Jalan Duta, di sini kelmarin.

Katanya, beliau bersyukur lima mangsa terlibat terselamat dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu dan kini dilaporkan dilaporkan stabil.

“Namun mereka masih trauma dengan kejadian yang berlaku. Mereka diberi cuti rehat sehingga keadaan betul-betul stabil,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohamed Azam berkata, kejadian berlaku ketika lima mang­sa itu berada di dalam dewan berkenaan bagi melakukan persiapan dan latihan penganjuran Program Tribute Tan Sri, Mohd Kamal Hassan yang dijangka berlangsung hari ini.

“Mengikut jadual, latihan penuh acara itu berlangsung pukul 12 tengah hari semalam (kelmarin) yang turut disertai saya. Bagaimanapun, lima minit sebelum bermula tiba-tiba bumbung dewan itu runtuh.

“Lima mangsa turun awal ke dalam dewan dan mereka sempat menyelamatkan diri sebaik sahaja terdengar bunyi dentuman yang kuat di bahagian si­ling dewan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemancar radio yang terletak di blok sama tidak terjejas dan masih berfungsi dengan baik.

“Ingin dinyatakan di sini, siaran radio IKIM berjalan seperti biasa dan tidak terjejas meskipun kelengkapan pemancar berada dalam blok sama,” katanya.

Untuk rekod, dewan berkenaan telah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1993 bagi acara rasmi IKIM.

Dewan besar berkenaan mampu menampung 300 orang dalam satu masa.

Utusan Malaysia dimaklumkan, Program Tribute Tan Sri, Mohd Kamal Hassan yang dijangka berlangsung hari ini akan dihadiri ahli lembaga pengarah, keluarga Mohd Kamal dan jemputan khas.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati, pemantauan dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mencari punca kejadian tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN