Melihat sendiri kegigihan Tabung Haji (TH) melaksanakan operasi haji di Tanah Suci berjalan lancar membuatkan saya kagum.
Sebelum ini, saya hanya mendengar cerita-cerita yang disampaikan dan hanya membaca melalui laporan rakan-rakan yang mendapat peluang membuat liputan di situ.
Ada kalanya, saya mengambil sikap acuh tak acuh sahaja kerana ia tidak mempunyai kaitan kerana tiada ahli keluarga yang menunaikan haji. Tetapi apabila sudah menjadi sebahagian ahli keluarga TH sejak 14 Mei lalu, persepsi itu telah berubah.
PENGALAMAN
Beruntungnya jemaah haji Malaysia mendapat satu agensi yang mempunyai segala kepakaran dan pengalaman untuk menguruskan mereka di sini.
Bukan seorang dua tetapi 31,600 orang yang perlu disantuni dan diuruskan. Ia sudah tentu suatu pekerjaan yang begitu mencabar kerana berdepan dengan kerenah manusia.
Dapat tinggal di hotel empat bintang ke atas, diberi makan dan fasiliti yang cukup serta pengangkutan yang baik merupakan satu nikmat yang perlu disyukuri.
Jika berjalan kaki dari hotel ke Masjidilharam yang terletak 750 meter, saya dapat lihat ada segelintir manusia yang tinggal di bawah jambatan dan tidur di atas jalan beralaskan karpet lusuh dan kain nipis untuk tidur.
Tidak cukup dengan itu, mereka membawa pula air zamzam yang diisi di dalam botol lima liter sebelum diletakkan di atas kepala atau dijinjit dari Masjidilharam ke tempat penginapan masing-masing.
Sudahlah berat, jauh pula hendak berjalan. Tetapi mereka kekal cekal.
Itu tidak berlaku kepada jemaah haji Malaysia. Apa yang dikatakan oleh TH mengenai kebajikan dan keselamatan benar-benar dipraktikkan.
SIAP SIAGA
Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang telah pun berada di Tanah Suci sejak minggu lalu berkali-kali memperkatakan mengenai kesiapsiagaan pasukan untuk memastikan kelancaran operasi.
Ia dibuktikan apabila setiap ketua operasi maktab, pengurusan, perubatan, pembimbing ibadat dan sajian makanan melakukan tugas mereka dengan cekap dan teratur.
Ada antara petugas yang terpaksa melupakan katil dan selimut mereka demi menyantuni dhuyufurrahman terutama ketika membimbing mereka melakukan umrah.
Satu demi satu kumpulan jemaah yang masuk ke Mekah disantuni dan diberikan perkhidmatan sama rata. Tidak keterlaluan jika dikatakan kebajikan yang mereka kecapi seolah-olah berada di Malaysia.
Pusat khidmat pelanggan yang diwujudkan untuk menerima aduan turut membuat perubahan dengan mengkategorikan masalah jemaah kepada lima jenis supaya ia lebih tersusun dan tidak bertindan.
Apa yang pasti, kesediaan petugas TH kini berada pada tahap maksimum dan ia akan lebih teruji apabila operasi masyair di Arafah, Mina dan Muzdalifah bakal menjelma pada akhir Jun nanti. – UTUSAN










