PETALING JAYA: Polis menerima empat laporan mengenai penjenayah siber yang menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsAps yang mendakwa anak mereka diculik dan meminta wang tebusan di Lembah Klang antara 13 hingga 15 Jun.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, salah seorang mangsa iaitu seorang wanita tempatan bekerja sebagai eksekutif akaun di sebuah syarikat tempatan memaklumkan menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali mendakwa menahan anaknya.
Menurut beliau, suspek mengarahkan mangsa menyerahkan sejumlah wang tebusan, namun wanita itu dengan segera bertindak memeriksa keadaan anaknya dan didapati anaknya dalam keadaan selamat.
“Selepas anaknya betul-betul selamat, mangsa terus memutuskan panggilan dan membuat laporan polis.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Susulan itu, beliau menasihati orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan kes-kes culik tersebut.
“Jangan mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali.
“Buat semakan dengan menghubungi pihak sekolah atau dapatkan pengesahan guru sekolah sekiranya anda mengalami situasi sama,” katanya.
Kata Amihizam, orang awam juga dinasihatkan untuk tidak mendedahkan sebarang maklumat peribadi dan membuat laporan di balai terdekat sekiranya berhadapan situasi terbabit.
Kata beliau, orang ramai juga boleh menyemak nombor telefon atau nombor akaun bank di laman web ccid.rmp.gov.my/semakmule sebelum membuat pindahan wang atau sebagainya
“Mangsa-mangsa juga boleh laporkan kepada National Scam Response Center (NSRC) di talian 997, jika anda mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan.
“Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau balai polis berdekatan,” katanya.- UTUSAN