RAUB: Ahli Parlimen Raub dari DAP, Chow Yu Hui dibidas kerana cuba menjadi juara dan pembela pekebun haram durian Musang King di daerah ini yang sudah terbukti menceroboh tanah milik kerajaan negeri.
Malah, pembela dan pekebun haram durian Musang King berkenaan diingatkan supaya tidak menegakkan benang yang basah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Raub, Datuk Abdullah Abu Bakar menegaskan, kenyataan Yu Hui di Dewan Rakyat baru-baru ini disifatkannya sebagai usaha songsang untuk menghalalkan sesuatu yang haram.
Tegasnya, kenyataan Ahli Parlimen Raub itu bahawa kerajaan negeri melanggar hak asasi penanam durian Musang King adalah gimik politik murahan yang tidak benar dan dibuat tanpa merujuk fakta sebenar.
“Ini kerana kebanyakan ladang dan kebun durian di sekitar Raub diusahakan di atas tanah milik kerajaan negeri dan hutan simpan secara haram seluas dianggarkan sehingga 4,400 hektar.
“Pencerobohan oleh pengusaha ladang durian ini melibatkan kawasan yang amat luas dan semuanya diusahakan tanpa sebarang kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri,” katanya di sini semalam.
Yu Hui ketika sesi perbahasan Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, pekebun durian Musang King adalah mangsa kepada sistem negara dan sumbangan mereka tidak pernah diiktiraf, sepatutnya geran tanah diberikan kepada mereka oleh kerajaan negeri Pahang.
Abdullah yang juga Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM) menggesa kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak bertolak ansur dengan penceroboh tanah kerajaan.
“UMNO Bahagian Raub bersedia berdepan dengan Yu Hui yang cuba berselindung di sebalik isu hak asasi untuk menghalalkan penceroboh tanah kerajaan,” katanya.
Beliau juga mengingatkan Ahli Parlimen Raub supaya tidak menggadai prinsip Kerajaan Perpaduan sebagai platform untuk menghalalkan tanah yang diceroboh tanpa kelulusan kerajaan negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri sudah pun mengajak penanam durian Musang King berunding bagi mencari penyelesaian secara ‘menang menang’ tetapi mereka tidak setuju dengan tawaran tersebut.
“UMNO Bahagian Raub menggesa kerajaan negeri tidak tunduk dengan tuntutan ini termasuk daripada rakan dalam Kerajaan Perpaduan berkaitan isu pencerobohan tanah kerajaan oleh pekebun Musang King di Raub.
“Jika kerajaan negeri melayani tuntutan pekebun haram terbabit tentunya akan melukakan hati banyak pihak seperti penduduk tempatan dan pesara tentera,” katanya.-UTUSAN










