Isu penggunaan Allah dibawa ke MKI

Isu penggunaan Allah dibawa ke MKI

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap dan bersetuju cadangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk membincangkan isu kalimah Allah kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Ogos depan sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada Oktober.

Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar berkata, beliau sudah menjelaskan pendirian kerajaan yang menghormati undang-undang yang berkuat kuasa di negeri-negeri dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Ketua Agama Negeri dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat negeri.

Katanya, beliau menghormati pandangan Baginda yang selari dengan keputusan Jemaah Menteri Mei lalu bahawa isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemas dan diperjelaskan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja.

“Sehubungan itu, baginda sebagai Pengerusi MKI telah bersetuju membawa perkara ini untuk dibincangkan dalam majlis berkenaan pada Ogos ini sebelum ia diangkat untuk pertimbangan dan penelitian Majlis Raja-Raja pada bulan Oktober pula.

“Justeru, saya sekali lagi menegaskan pendirian Kerajaan Persekutuan untuk memperaku dan menerima pakai dasar sedia ada yang mengehadkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam di Semenanjung Tanah Melayu serta kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Sultan Sharafuddin bertitah bahawa isu penggunaan kalimah Allah perlu dibawa terlebih dahulu kepada MKI untuk dibincangkan.

Baginda bertitah, ia selaras dengan fungsi MKI yang bertanggungjawab menasihatkan Raja-Raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat Persekutuan.

“Beta disembah maklum berhubung dengan komitmen kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan merujuk isu ini kepada Majlis Raja-Raja bagi tujuan penetapan dasar berhubung dengan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.

“Dalam perbincangan itu, Beta selaku Pengerusi MKI menyuarakan pandangan Beta yang juga dipersetujui oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bahawa perkara ini perlu dibawa terlebih dahulu kepada MKI untuk dibincangkan selaras dengan fungsi MKI yang bertanggungjawab menasihatkan Raja-Raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat Persekutuan.

“Beta juga berpandangan, memandangkan perkara ini membabitkan sensitiviti agama di Malaysia, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini perlu dimuktamadkan dengan segera oleh kerajaan Malaysia dengan penuh hikmah dan tanggungjawab,” titah baginda hari ini.

“Beta juga berpandangan, memandangkan perkara ini membabitkan sensitiviti agama di Malaysia, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini perlu dimuktamadkan dengan segera oleh kerajaan Malaysia dengan penuh hikmah dan tanggungjawab,” titah baginda hari ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.