Isu pekerja kematian isteri di Sabah, majikan tidak langgar Ordinan

Isu pekerja kematian isteri di Sabah, majikan tidak langgar Ordinan Buruh

MUSTAPHA SAKMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kes tular pekerja kematian isteri yang baru bersalin di Sabah baru-baru ini tidak membabitkan sebarang pelanggaran Ordinan Buruh bagi pihak majikan seperti yang didakwa.

Malah, pihak majikan juga bersetuju untuk tidak melakukan pemotongan gaji terhadap pekerja tersebut dan membayar gaji penuh biarpun pada bulan Mei, pekerja berkenaan hanya datang bekerja selama tiga hari sahaja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, beliau bersimpati dengan kejadian yang menimpa lelaki tersebut, namun, meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian berkenaan.

Berdasarkan sumber daripada majikan, Mustapha memberitahu, mereka dimaklumkan mengenai isteri pekerja yang bersalin dan seterusnya memberi cuti bersalin selama dua hari kepada kakitangan berkenaan. 

Katanya, majikan itu juga membenarkan pekerja mengambil cuti tahunan sehingga urusan selesai.

“Namun, enam hari selepas isterinya melahirkan bayi, pekerja tersebut datang bekerja dan memaklumkan bahawa isteri dan anaknya dalam keadaan sihat. Tetapi, pada hari sama, semasa pekerja berkenaan pulang dari kerja, pekerja terbabit mendapati isterinya meninggal dunia di samping anak mereka.

“Susulan itu, majikan berkenaan bertindak memberi bantuan dan sumbangan termasuk membantu dalam urusan di hospital,” kata Mustapha.

Baru-baru ini, tular satu paparan di media sosial yang dikongsikan seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Exly Jailon bahawa isterinya meninggal dunia di samping bayi mereka yang berusia enam hari ketika dia keluar bekerja.

Lelaki itu mendakwa terpaksa bekerja selepas dua hari cuti bersalin kerana diugut dipotong gaji oleh majikan.

Dalam kes ini, Mustapha menambah, majikan tidak melanggar Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) kerana pemberian tujuh hari cuti bersalin bagi bapa di Sabah masih belum diluluskan. 

Pelaksanaan tujuh hari cuti bersalin kepada bapa hanya berkuat kuasa di Semenanjung.

Mustapha berkata, siasatan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah juga mendapati majikan memang ada memotong gaji pekerja itu selama 13 hari semasa tempoh berkabung namun, selepas dinasihati oleh JTK Sabah, majikan menarik balik potongan itu dan membayar gaji penuh biarpun pekerja tidak memohon cuti tahunan.

Mengulas lanjut, katanya, JTK Sabah masih berusaha untuk mendapatkan maklumat daripada pekerja tentang kejadian sebenar yang berlaku pada hari kejadian.

Namun, buat masa ini, katanya, pekerja tersebut masih dalam keadaan bersedih dan trauma dengan kehilangan isterinya, maka, dia belum bersedia memberi apa-apa kenyataan mengenai kejadian yang berlaku.

Mustapha berkata, di pihak kementerian, mereka memberi komitmen bahawa hak pekerja akan diperjuangkan sesuai dengan Piawaian Perburuhan Antarabangsa yang digariskan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya