Isu Kedah, Pulau Pinang perlu selesai secara rundingan

Isu Kedah, Pulau Pinang perlu selesai secara rundingan -Mahdzir Khalid

MAHDZIR Khalid beramah mesra dengan penduduk ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-7, Pertubuhan KAF Wilayah Alor Setar Tahun 2023 di Felda Lubuk Merbau, Padang Terap. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Setiap pertikaian yang timbul melibatkan Kedah dan Pulau Pinang perlu diselesaikan di meja rundingan ketika kebanyakan isu kini sudah berlarutan sekian lama dan tidak menampakkan tanda-tanda akan berakhir. 

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau percaya setiap isu yang ditimbulkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika ini berpunca daripada tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang. 

Menurutnya, keadaan itu turut mendorong Muhammad Sanusi membuat kenyataan bahawa Pulau Pinang merupakan hak Kedah hingga dipolemikkan banyak pihak ketika ini. 

“Saya fikir segalanya hanya bermula daripada isu bekalan air iaitu sumber air mentah dari Kedah yang mengalir ke Pulau Pinang. Air dari hulu Kedah mengalir melalui Sungai Muda hingga ke sempadan kedua-dua negeri dan perkara itu sudah menjadi pertikaian panjang. 

“Jadi, saya fikir langkah terbaik adalah bawa berunding untuk selesaikan isu di antara Kedah dan Pulau Pinang. Saya fikir sandaran digunakan Muhammad Sanusi dalam isu ini mungkin berkaitan bayaran pajakan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan bukannya oleh kerajaan Pulau Pinang,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-7, Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Alor Setar di Dewan Felda Lubuk Merbau di sini, hari ini.

Mahdzir yang pernah memegang jawatan Menteri Besar Kedah berkata, tuntutan caj air mentah negeri ini terhadap Pulau Pinang bukanlah sesuatu yang baharu. 

“Perkara ini juga pernah dibangkitkan semasa saya menjadi Menteri Besar. Namun, kami menggunakan pendekatan berbeza apabila mengadakan rundingan. 

“Cara kita bangkit pada masa itu adalah dengan rundingan. Ada perkara yang boleh diberi perhatian, ada juga pro dan kontranya,” katanya. 

Diminta mengulas mengenai bayaran khas berjumlah RM200 juta kepada Kedah berikutan pengorbanan Kedah menyumbang keterjaminan makanan negara dan sumber air negeri jiran, Mahdzir berkata, tuntutan itu sudah dibuat sejak Datuk Seri Syed Razak Syed Zain menjadi Menteri Besar lagi. 

“Ketika Allahyarham menjadi Menteri Besar, ada penilaian dibuat mengenai berapa keluasan padi dan berapa keluasan hutan yang tak boleh ditebang. Ada surat dikemukakan pada waktu itu. 

“Dan selepas itu, ketika saya menjadi Menteri Besar pun, saya buat surat kepada Kerajaan Persekutuan. Tindakan sama mungkin turut dibuat Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Jadi, perkara itu bukan perkara baharu,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.