MEKAH: Jadual padat petugas Tabung Haji (TH) tidak mematahkan semangat mereka untuk berikrar menyantuni dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia.
Bagi memastikan momentum tersebut berterusan, semua petugas TH telah diminta melafazkan ikrar taat setia untuk memberikan khidmat dengan penuh ikhlas, semalam.
Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, program itu dilakukan selepas mengambil kira kepenatan para petugas yang sudah 34 hari berada di sini.
Katanya, tempoh yang lama itu sudah tentu membuatkan petugas mula lelah apatah lagi telah berjauhan dengan keluarga hingga menyebabkan badan memberontak.
“Hayunan langkah pun sudah mula perlahan berbanding awal musim, badan memberontak dan rasa lelah disebabkan jadual yang padat.
“Oleh sebab itu, kita perlu ubah daripada lelah kepada lillah (kerana Allah) dengan menyegarkan semula ikrar kita semasa di tanah air. Perjuangan kita belum berakhir selagi operasi masyair tidak selesai,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Petugas Musim Haji 1444H di Abraj Al-Janadriyah di sini semalam.
Selain ikrar, petugas turut menyanyikan beberapa buah lagu termasuk Petugas Haji Idaman, Jalur Gemilang dan Inilah Barisan Kita bagi menaikkan semangat.
Syed Saleh turut melancarkan Tabung Nikmatul Khair 1444H bertujuan mengutip derma dalam kalangan petugas untuk dimanfaatkan kepada jemaah haji.
Menurut Syed Saleh, pelbagai anugerah dan indeks kepuasan pelanggan yang mencapai 94 peratus pada tahun lalu telah menjadi sejarah. – UTUSAN










