Harimau Malaya tidak sampai 150 ekor

Harimau Malaya tidak sampai 150 ekor

HARIMAU Malaya kini dilaporkan kurang daripada 150 ekor berdasarkan tinjauan dilakukan di kawasan seluas 44,000 hektar sejak 2016 hingga 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bilangan Harimau Malaya dalam hutan di ne­gara ini dianggarkan kurang dari 150 ekor dan diramal mampu bertahan untuk 10 tahun lagi jika tiada usaha pro­aktif untuk mengelaknya pu­pus.

Berdasarkan kajian Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung dengan kerjasama agensi lain termasuk World Wildlife Fund (WWF) Malaysia mendapati, bilangan Harimau Malaya atau dalam bahasa saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni kurang dari 150 ekor.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, jumlah populasi harimau tersebut diperoleh hasil bancian daripada Program 1st National Tiger Survey (1st NTS) bermula 2016 hingga 2020.

Menurutnya, program bancian yang pertama kali dilaksanakan dengan berskala besar itu dilakukan di Semenanjung menerusi peruntukan Ranca­ngan Malaysia Ke-11.

“Program 1st NTS ini dilaksanakan di kawasan hutan yang dikenali sebagai Central Forest Spine yang mewakili hutan-hutan di Banjaran Bintang, Banjaran Titiwangsa, Banjaran Tahan dan kompleks hutan selatan Semenanjung Malaysia dengan jumlah keluasan hutan seluas lebih 40,000 kilometer persegi.

“Lebih 4,000 kamera dipasang untuk mendapatkan gambar Harimau Malaya. Gambar ini dikumpul dan dianalisa untuk mendapatkan angggaran populasi haiwan tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau ber­kata, program tersebut dijayakan dengan kerjasama antara Perhilitan dan badan bukan kerajaan seperti WWF Malaysia, Wildlife Conservation Society, Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia (Pelindung) dan RIMBA.

“Program 1st NTS ini telah menunjukkan bahawa populasi Harimau Malaya adalah kurang daripada 150 ekor di habitat liar,” katanya.
Susulan kajian tersebut, Abdul Kadir berkata, kerajaan te­lah melihat isu ini dengan serius dan bersetuju melaksa­nakan sembilan tindakan strategik bagi melindungi spesies itu.

Menurutnya, antara tindakan dilaksanakan adalah pembentukan Pasukan Petugas Khas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya atau MyTTF yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Tindakan penting yang lain adalah meningkatkan kakita­ngan di lapangan menerusi rondaan penguatkuasaan bagi menangani isu pemburuan haram dan pencerobohan hutan habitat Harimau Malaya.

“Program Operasi Bersepadu Khazanah dan Renjer Komuniti merupakan sebahagian Program Biodiversity Protection and Patrolling (BP3) melibatkan kerjasama pelbagai agensi yang terdiri daripada Perhilitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam, Jabatan Perhutanan, Jabatan Imigresen, pi­hak badan bukan kerajaan, ve­teran tentera dan polis serta Orang Asli dan komuniti setempat,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Kadir berkata, tindakan lain yang diambil adalah dengan mewujudkan Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah PDRM, meningkatkan pemeliharaan dan pemuliharaan habitat Harimau Malaya, mewujudkan unit harimau di Jabatan Perhilitan dan pasukan taktikal khas kawasan perlin­dungan bagi konflik harimau serta memperkasa Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai center of excellent.

Beliau berkata, turut dilaksanakan adalah menyediakan insentif kepada kerajaan negeri bagi melindungi habitat harimau menerusi Ecological Fiscal Transfer (EFT) dan meningkatkan pengurusan menerusi pelbagai skim akredistasi.

“Semua tindakan ini meme­nuhi kriteria menyokong pelan pemulihan harimau di Malaysia dan ia juga mewakili komitmen negara terhadap Deklarasi St. Petersburg di Russia yang dipersetujui oleh semua Ketua Negara Tiger Range Countries pada tahun 2010. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×