IPOH: Persatuan Kebangsaan Pekebun Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) menyambut baik cadangan kerajaan untuk menaikkan harga lantai getah daripada RM2.70 yang dilaksanakan ketika ini kepada RM3 sekilogram.
Naib Presiden 1 PKPKM, Meor Harun Meor Osman berkata, janji Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk mempertimbangkan cadangan menaikkan harga lantai getah sekerap ke Kabinet baru-baru ini, amat dialu-alukan.
Menurutnya, diharapkan kesungguhan kerajaan untuk membela nasih penoreh getah dapat dilaksanakan jika cadangan itu diluluskan.
“Persatuan dan penoreh getah mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan cadangan agar harga lantai getah naik kepada RM3 sekilo dan berharap cadangan ini akan diluluskan oleh kerajaan.
“Jika harga lantai getah dinaikkan kepada RM3 sekilogram, ini sudah tentu dapat meringankan beban perbelajaan harian penoreh dalam keadaan harga barangan keperluan harian yang semakin meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, persatuan percaya jika harga getah naik, isu seluas kira-kira 400,000 hektar daripada 1.1 juta hektar keluasan tanaman getah di seluruh negara tidak ditoreh yang berpunca daripada harga komoditi itu yang terlalu rendah, dapat diatasi.
“Saya percaya jika harga getah dapat naik hingga RM3 sekilogram, ramai penoreh yang akan kembali aktif dan ini sekaligus dapat mengatasi isu kebun getah tidak aktif disebabkan harga komoditi itu rendah,” katanya.
Sebelum ini, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, kerajaan akan mempertimbangkan cadangan menaikkan harga lantai getah sekerap sekurang-kurangnya kepada RM3 sekilogram berbanding RM2.70.
Menurutnya, ia merupakan permintaan daripada pekebun kecil atas alasan input untuk perladangan sekarang sudah naik khususnya baja dan sebagainya.
Harrga RM3 sekilogram itu disifatkan ‘balik modal’ yang diharapkan oleh pekebun getah.
Begitupun, Fadillah berkata, cadangan itu bergantung kepada kemampuan kerajaan dan setakat ini berdasarkan kemampuan kerajaan yang ada ialah RM2.70 sekilogram. -UTUSAN










