Dua rakan tidak mengaku salah miliki senapang angin buatan sendiri, dadah - Utusan Malaysia

Dua rakan tidak mengaku salah miliki senapang angin buatan sendiri, dadah

DUA orang rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau, Jempol hari ini, atas pertuduhan memiliki senapang angin buatan sendiri dan dadah di sebuah kebun getah di Felda Lui Selatan 2, minggu lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Dua orang rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki senapang angin buatan sendiri dan dadah di sebuah kebun getah di Felda Lui Selatan 2, minggu lalu.

Tertuduh, Rahmad Wagi, 30, dan Rusdy Rosli, 25, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.

Berdasarkan pertuduhan pertama, pada 20 Jun lalu kira-kira pukul 2 petang, di pondok dalam kebun getah Felda Lui Selatan 2 telah didapati dalam milik tertuduh dua laras senapang angin buatan sendiri tanpa lesen senjata atau permit senjata yang sah. 

Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang dibaca bersama di bawah Seksyen 34 kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua pula, pada tarikh, masa dan lokasi yang sama, kedua-dua tertuduh didapati memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat 5.40 gram.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Majistret kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM4,000 bagi pertuduhan memiliki senapang buatan sendiri dan RM3,000 bagi pertuduhan memiliki dadah.

Selain itu, Majistret turut menetapkan 18 Julai ini bagi tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam serta laporan kimia.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN