Dua penjawat awam wanita ditahan SPRM Johor - Utusan Malaysia

Dua penjawat awam wanita ditahan SPRM Johor

Azmi Alias
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah lebih RM20,000 sepanjang dua tahun lalu.

Menurut sumber, suspek wanita yang berkhidmat sebagai pegawai penguat kuasa di sebuah jabatan kerajaan negeri berusia 40 itu ditahan di pejabat SPRM Johor di sini kira-kira pukul 5.30 petang selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, suspek yang juga seorang ejen hartanah sambilan meminta rasuah tersebut daripada dua individu sebagai balasan mendapatkan tanah lot bukan Bumiputera bagi sebuah projek perumahan di negeri ini pada 2021 dan 2022.

Suspek meyakinkan kedua-dua individu terbabit bahawa dia boleh mendapatkan lot tersebut dengan menggunakan jawatannya sebagai pegawai penguat kuasa sebuah jabatan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Dalam kes berasingan, seorang pembantu tadbir kewangan di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan kerana disyaki mengguna kedudukan dan jawatannya untuk memasukkan tunggakan gaji dan elaun ke akaunnya, tahun lalu.

Suspek wanita yang berusia 32 itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Segamat pada pukul 2 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, dia sepatutnya tidak layak menerima tunggakan gaji dan elaun tersebut namun telah bertindak memasukkan wang lebih RM1,000 ke akaunnya untuk tempoh dua bulan, iaitu pada Februari dan April lalu.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias yang dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan mereka kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya