Dahulu jual aiskrim warga Pakistan kini ada tiga kedai karpet

Dahulu jual aiskrim warga Pakistan kini ada tiga kedai karpet

kedai karpet dimiliki Ba Amin Gulam di Kompleks Menara Condong Teluk Intan, Perak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Bermula dengan perniagaan aiskrim secara kecil-kecilan di rumah, seorang lelaki warga Pakistan kini bergelar saudagar karpet apabila mampu menyewa tiga buah kedai termasuk di Kompleks Menara Condong di sini.

Ba Amin Gulam, 60, yang kini berkahwin dengan wanita rakyat Malaysia berkata, sebaik sahaja menjejak kaki ke negara ini dia belajar cara hidup, minat dan keperluan orang negara ini.

Dari situ, ceritanya, dia memulakan ‘kerjayanya’ sebagai peniaga aiskrim di rumah dan tidak sangka mendapat sambutan.

Bagaimanapun, kata Ba Amin, selepas mendapat peluang dia beralih kepada menjual karpet dan lain-lain barangan ter­utamanya untuk memenuhi ke­perluan warga Pakistan.

Pada awal perniagaan karpet, dia mengakui melalui pelbagai cabaran tetapi berkat kesabaran dirinya dan disokong isteri dia mampu mengembang perniagaan karpet sehingga boleh menyewa tiga kedai.

Selain sebuah kedainya terletak di Kompleks Menara Condong, dua lagi kedainya dibuka di bangunan kedai berdekatan dengan kompleks tersebut.

“Memang orang kata warga asing boleh berjaya dalam perniagaan di negara ini tetapi ia bukan senang untuk jadi se­nang dan mencapai tahap se­perti sekarang. Kena banyak bersa­bar, kena hadapi untung rugi dan ia perkara biasa jika mahu kekal berniaga.

“Untuk maju dalam perniagaan, kami beri pelanggan buat bayaran ansuran barang yang dibeli sama ada bayaran bulanan atau mingguan, cara ini tidak membebankan pembeli.

“Saya menjalankan perniagaan secara sah dan perniagaan ini dapat membantu penduduk di sini membeli keperluan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ba Amin berkata, Malaysia untuknya ibarat lubuk rezeki apabila dianugerahkan dengan penduduk pelbagai kaum yang memerlukan pelbagai barang, mesra dan pentadbiran kerajaan yang teratur.

TUMPUAN

Tinjauan mendapati Kompleks Menara Condong menjadi tumpuan kebanyakan peniaga warga asing terutama Pakistan. Peniaga warga asing itu menjalankan perniagaan seperti pakaian, beg, kedai runcit, kedai makan dan kedai gunting rambut.

Kompleks Menara Condong itu ‘meriah’ terutama dalam kalangan warga asing yang mahu membeli keperluan barang tradisional masing-ma­sing.
Cuti hujung minggu dan cuti umum lebih meriah.

Seorang peniaga tempatan yang menjual pakaian wanita berkata, kompleks itu menjadi tumpuan warga asing yang bekerja di daerah ini.

Dia yang enggan dikenali berkata, ramai pekerja asing akan datang ke kompleks itu pada hujung minggu.

“Apabila mereka dapat gaji, kompleks itu penuh dengan warga asing sama ada untuk membeli barang keperluan atau sekadar bersantai di Dataran Menara Condong,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan hampir semua sektor ekonomi berasaskan rangkaian bekalan dan penge­luaran makanan negara dikawal warga asing apabila kebanyakan majikan terpaksa bergantung sehingga 80 peratus kepada pekerja asing.

Perkara itu berterusan dan warga asing kini bukan hanya bekerja sebagai buruh tetapi semakin ramai berjaya me­ngusahakan kebun sayur sendiri dan mula menguasai sektor runcit untuk membekalkan barangan keperluan kepada penduduk sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN