Cium tangan penyanyi wanita, lelaki direman tiga hari - Utusan Malaysia

Cium tangan penyanyi wanita, lelaki direman tiga hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini susulan kes mencabul kehormatan seorang artis wanita dalam satu acara di Dataran Nilai di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, tengah malam tadi pihaknya telah menerima aduan daripada seorang wanita berusia 26 tahun yang merupakan seorang penyanyi yang menyatakan telah didatangi oleh suspek yang meminta kebenaran untuk berswafoto ketika berada di dalam bilik kenamaan, belakang pentas di Dataran Nilai di sini.

“Pengadu menyatakan pada pukul 11.05 malam semalam, ketika berada di bilik VVIP, belakang pentas Dataran Nilai, setelah selesai membuat persembahan nyanyian untuk program hiburan di satu festival, pengadu telah didatangi oleh seorang lelaki yang meminta kebenaran untuk berswafoto dengan pengadu. 

“Pengadu memberi kebenaran dan setelah selesai swafoto, lelaki tersebut telah menarik serta menggenggam tangan dan seterusnya mencium tangan pengadu. Terkejut dengan tindakan lelaki tersebut, pengadu terus menjerit dan lelaki tersebut telah melarikan diri dari tempat tersebut namun berjaya ditangkap oleh pihak penganjur dan telah diserah kepada anggota polis yang bertugas di festival berkenaan,” katanya hari ini.

Abdul Malik berkata, kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.

“Suspek seorang lelaki warga tempatan yang tidak mempunyai rekod jenayah dan permohonan reman ke atas suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Seremban dan permohonan reman telah diluluskan selama tiga hari mulai hari ini,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN