BN hanya tanding 10-13 kerusi di Selangor?

BN hanya tanding 10-13 kerusi di Selangor?

BARISAN Nasional yakin dapat membentuk kerajaan perpaduan di Selangor. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) memuktamadkan pembahagian kerusi keenam-enam ne­geri pada malam semalam bagi menghadapi Pilihan Raya Ne­geri (PRN) yang dijangka berlangsung bulan hadapan.

Di Selangor, BN menjangkakan bertanding 10 hingga 13 kerusi dalam usaha mereka untuk membentuk kerajaan perpaduan peringkat negeri selepas PRN nanti.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin berkata, akar umbi partinya meletakkan kepercayaan kepada pucuk pimpinan BN untuk berunding bersama PH dan sete­rusnya memastikan kemenangan di kerusi yang ditandingi.

“Saya difahamkan pembahagian kerusi dimuktamadkan pada malam ini (malam tadi) di antara pimpinan pusat. Kita jangkakan 10 hingga 13 kerusi maksimum yang akan ditandingi BN dan kesemua kerusi itu kita pastikan sebagai wajib menang,” katanya ketika dihubu­ngi, semalam.

Tambahnya, beliau turut menafikan dakwaan BN cuma peroleh lima hingga 10 kerusi dengan menyifatkan maklumat tersebut sebagai tidak tepat.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, BN menyasarkan 22 Dewan Undangan Ne­geri (DUN) iaitu satu kerusi bagi setiap parlimen di Selangor akan ditandingi mereka terutama di kawasan-kawasan yang mempunyai jumlah pengundi signifikan dan majoriti Melayu.

Dalam pada itu, Mohd. Imran turut memaklumkan jentera pi­lihan raya BN di Selangor sudah pun digerakkan serta Pemuda dan Puteri tidak lagi bergerak solo seperti sebelum ini, sebaliknya akan bekerja seiringan untuk menarik pengundi muda dan baharu.

“Minggu ini kami akan memberi tumpuan kepada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 pada 7 hingga 11 Jun untuk mendapatkan amanat dan mandat daripada pucuk pimpinan sayap dan parti bagi menentukan hala tuju dalam gerakan ke arah PRN.

“Selain itu, akar umbi pula dalam proses mencari keserasian dan kalau ada rasa tidak puas hati pastinya kedua-dua pihak berasa demikian kerana ini pertama kali (gabungan BN-PH). Berapapun kerusi diperolehi, kita kena pastikan menang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN