PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) dibenar oleh Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kemenangan calon Pas, Datuk Mohd. Azizi Abu Naim bagi kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Sehubungan itu, petisyen pilihan raya bagi kerusi parlimen itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu agar meritnya didengar dan diputuskan melalui perbicaraan penuh di hadapan hakim baharu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan seorang pengundi, Mohd. Azmi Mahmood yang memfailkan petisyen pilihan raya mewakili calon BN, Tengku Razaleigh Hamzah.
Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim-Hakim Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan manakala prosiding disebut secara dalam talian di Kota Bharu pada 26 Jun ini.
Sementara itu, panel yang sama menolak rayuan Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim untuk mencabar kemenangan Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin bagi kerusi Parlimen Putrajaya.
Mahkamah memutuskan demikian selepas berpuas hati tiada merit dalam rayuan tersebut dan menetapkan kos RM30,000.
Ketika membacakan keputusannya bagi petisyen Gua Musang, Hakim Abdul Rahman berkata, panel itu berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi Kota Bharu terkhilaf ketika memutuskan pemfailan petisyen dilakukan di luar tempoh masa yang ditetapkan.
Pada 26 Februari lalu, Hakim Datuk Roslan Abu Bakar membatalkan petisyen Mohd. Azmi selepas memutuskan ia difailkan di luar tempoh masa yang dibenarkan iaitu 28 hari seperti yang ditetapkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Panel itu turut berpuas hati bahawa butiran petisyen yang difailkan oleh Mohd. Azmi adalah mencukupi dan memenuhi kehendak undang-undang di bawah
Kaedah 4(1)(b) Kaedah-Kaedah Petisyen 1954, dibaca bersama Seksyen 32(a) Akta 5.
Pada PRU15 lalu, Tengku Razaleigh gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12 apabila tewas kepada Mohd. Azizi yang diumum menang dengan majoriti tipis 163 undi.
Sementara itu, panel sama ketika mengumumkan keputusan rayuan bagi Parlimen Putrajaya berpuas hati, petisyen Ahmad Faisal tidak mengandungi butiran mencukupi yang mewajarkan ia dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.
Pada prosiding semalam, peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun berhujah bagi pihak perayu manakala peguam-peguam Yusfarizal Yussoff, Wan Rohimi Wan Daud dan Mohd. Faizi Che Abu mewakili responden.
Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan petisyen pilihan raya Ahmad Faisal selaku pempetisyen selepas membenarkan bantahan awal Mohd. Radzi selaku responden. Dengan keputusan itu, Mohd. Radzi kekal sebagai Ahli Parlimen kawasan tersebut.
Hakim Datuk Faizah Jamaludin memutuskan demikian selepas berpuas hati petisyen itu cacat dan tidak mengandungi fakta dan butiran lengkap.
Ahmad Faisal, 50, memfailkan petisyen itu pada 26 Januari lalu dalam usaha membatalkan kemenangan Mohd. Radzi, 46, atas dakwaan bekas Menteri Pendidikan itu memberi sogokan berjumlah RM150 kepada pengundi berdaftar di kawasan berkenaan. – UTUSAN










